Siakap Keli
Kredit gambar: Google

PDRM Lancar ‘Ops Lampu Isyarat Merah’, Denda Tak Melebihi RM 2,000 Atau Penjara Tak Melebihi 6 Bulan Menanti Pesalah

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan melancarkan Operasi Lampu Isyarat Merah bermula 15 Dis (hari ini) sehingga 31 Dis ini.

Pengarahnya, Datuk Azisman Alias berkata, ia berikutan ramai pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas, termasuklah kesalahan tidak memberhentikan kenderaan di lampu isyarat merah.

“Operasi ini adalah bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan sebegini terutama di kalangan penunggang motosikal termasuk penghantar makanan/barangan (p-hailing) serta pemandu kenderaan lain.

“Ia juga bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pengguna jalan raya turut diingatkan agar berhati-hati dan sentiasa mematuhi isyarat lalu lintas bagi keselamatan awam.

“Penunggang motosikal atau kenderaan lain yang didapati melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah akan diambil tindakan saman serta-merta atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan saman.

“Tindakan boleh diambil di bawah Kaedah 17, Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang mana boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” tambahnya.

Untuk rekod, sebanyak 69,267 saman atas kesalahan melibatkan langgar lampu isyarat merah pernah dikeluarkan pada 2019, merangkumi motosikal (32,657 saman), kereta (29,873), lori (2,808) dan lain-lain kenderaan (3,929).

Manakala bagi Januari hingga November tahun ini, sebanyak 52,170 saman telah dikeluarkan, angka tertinggi masih melibatkan motosikal (26,764), diikuti kereta (20,751), lori (2,208) dan lain-lain kenderaan (2,447).

Sumber: PDRM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'