Siakap Keli

Resepi Saja-saja Uli, Wanita Tak Sangka Karipap Sejuk Bekunya Laris Hingga Ke China

Pengalaman ‘patah hati’ ketika merantau di bumi asing menjadi pencetus segala-galanya. Keinginan nak makan murtabak di tengah-tengah Kota London terbantut gara-gara skill memasaknya yang ‘hampeh’, membuatkannya terpaksa memendam rasa mengidam itu buat seketika.

Tetapi, siapa yang sangka, dari pengalaman yang terlalu ‘simple’ itu, ia menjadi pencetus kepada sebuah kejayaan yang tak disangka-sangka buat wanita ini.

Menurut Fatihah Anis Ibrahim, 58, kejadian berkenaan telah memberikannya satu idea untuk menghasilkan produk sejuk beku berasaskan kulit popiah dan hasrat itu berjaya direalisasikan setelah pulang ke Malaysia.

Ketika memulakan perniagaan berkenaan sekitar 1980, beliau hanya memasarkan produk sejuk beku berasaskan karipap pusar sahaja, sehinggalah tertubuhnya Syarikat Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd.

Seiring dengan perkembangan masa, syarikatnya mula melebarkan sayap dan kini menghasilkan sekitar 25 tan produk setiap bulan seperti roti canai, popia, cucur badak, samosa dan banyak lagi.

“Sejurus pulang ke Malaysia, saya mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Hanya berbekalkan satu peti sejuk kecil dan motosikal untuk penghantaran.

‘’Kini, jenama ini sudah mempunyai kilang sendiri dan memilliki dua lori sejuk beku untuk tujuan penghantaran,’’ ujarnya.

Selepas 20 tahun berkecimpung dalam perniagaan makanan sejuk beku, jenama Fatihah Frozen Food menjengah pasaran antarabangsa. Namun Fatihah sekali lagi boleh menarik nafas lega kerana penganjuran persidangan APEC 2020 dan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah membuka ruang untuk syarikatnya meneroka pasaran baru di rantau Asia Pasifik.

Brunei, Singapura, China dan Thailand adalah pasaran terkini yang berjaya ditembusi Fatihah Frozen Food.

“Sejak produk Fatihah Frozen Food mula diperkenalkan di pasaran, antara pelanggan utama saya berasal dari Brunei. Sokongan yang diterima secara tidak langsung membolehkan saya memperluaskan lagi jaringan perniagaan,’’ katanya lagi.

Seiring dengan tema APEC 2020 iaitu Kemakmuran Bersama yang menekankan prinsip setiap individu dapat menikmati manfaat ekonomi yang sama rata, persidangan ini membolehkan syarikat Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. mendapatkan informasi tambahan mengenai pasaran-pasaran di Asia Pasifik yang baru diterokainya.

Namun begitu katanya, untuk menembusi pasaran global ini bukannya mudah, pelbagai onak dan duri terpaksa diredah antaranya terpaksa bersaing dengan jenama-jenama lain sudah lama bertapak kukuh dalam pasaran.

Selain itu, Fatihah turut mendedahkan syarikat yang diusahakannya turut berdepan dengan masalah lokasi kilang dan sumber kewangan untuk melengkapkan pensijilan bagi tujuan eksport.

Mujurlah, dengan adanya pelbagai agensi kerajaan yang menghulurkan bantuan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), akhirnya sijil berkenaan berjaya diperolehi.

Bukan itu sahaja, produk yang diusahakannya turut mendapat bimbingan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan SIRIM melalui program bimbingan perniagaan, pemasaran dan pembungkusan produk.

Tidak mahu menoleh kebelakang lagi, Fatihah Frozen Food dalam masa terdekat menyasarkan untuk memperluaskan lagi capaian dalam pasaran tempatan menerusi 200 ejen baharu.

Mendapat sambutan hangat dari pelanggan tempatan dan mula mencuri tumpuan pelanggan antarabangsa, Fatihah berkata, keunikan Fatihah Frozen Food terletak pada kreativiti selain disesuaikan dengan permintaan pasaran semasa.

Antara variasi produk yang dikeluarkan oleh Fatihah Frozen Food adalah makanan sejuk beku berasaskan Royale Paratha.

Yang best mengenai Royale Paratha ini, ia boleh dipelbagaikan menjadi waffle, pizza, paratha egg tart, paratha wrap dan quiche serta banyak lagi mengikut selera pelanggan.

Disebabkan keunikan ini juga, tak hairanlah Fatihah Frozen Food merangkul pelbagai anugerah setiap tahun antaranya Tesco Top 10 SME (2018) dan Top 5 Sales Bumiputera SME At Lulu Hypermarket (2019).

Dengan penggunaan teknologi digital, Fatihah Frozen Food merancang untuk menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa dan merangkul lebih banyak anugerah.

Beliau ketika ini dalam proses untuk menjadikan platform atas talian sebagai tempat urusan jual beli produk Fatihah Frozen Food selain kaedah jualan biasa seperti melalui ejen.

Tak mahu kejayaan yang dicapai hanya dinikmati oleh dirinya sahaja, melalui pelantikan ejen ini, beliau berharap ia membuka peluang untuk orang ramai menambah pendapatan, sejajar dengan tema APEC 2020 iaitu Kemakmuran Bersama.

Gambar: myapec2020.my

Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia berharap konsep yang dibawakannya dapat diterjemahkan oleh semua negara anggota dalam setiap rancangan kerja pada tahun ini.

Konsep Kemakmuran Bersama ini diperkenalkan oleh Malaysia ketika Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC di Papua New Guinea pada 2018, bertepatan dengan aspirasi domestik dan global Malaysia.

APEC menjadi forum antara kerajaan bagi 21 negara ekonomi di rantau Asia Pasifik untuk mempromosi perdagangan bebas di seluruh rantau berkenaan.

Manakala MITI dilantik selaku sekreteriat kebangsaan yang bertanggungjawab menguruskan penganjuran APEC 2020.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.