Beberapa negara di Eropah dilaporkan akan melaksanakan perintah berkurung (lockdown) serta-merta berikutan penyebaran strain baharu Coronavirus di selatan England baru-baru ini.
Dalam masa sama, penerbangan antarabangsa yang membawa penumpang dari United Kingdom (UK) juga turut digantung.
Laporan terkini memaklumkan, peningkatan jangkitan COVID-19 akhir-akhir ini di UK berada di paras yang amat membimbangkan.
Di London dan tenggara England khususnya, kes positif COVID-19 dilaporkan meningkat sebanyak 35,928 pada pagi Ahad (semalam) – angka jangkitan harian melebihi 30,000 kes buat kali keempat dalam tempoh seminggu.
Perdana Menteri UK, Boris Johnson pada Sabtu kelmarin memaklumkan, sekatan tahap empat yang dilaksanakan akan membatalkan segala penganjuran sambutan Krismas di jalanan, kedai-kedai dan sebagainya.
The Guardian melaporkan, Perancis adalah satu satu negara yang akan berbuat demikian dalam masa 24 jam sejak pukul 11 malam semalam.
Namun, The Road Haulage Association memberi amaran bahawa langkah tersebut bakal membawa kesan buruk pada rantaian bekalan yang sebelum ini terjejas akibat Brexit serta pandemik COVID-19.
Antara negara Eropah lain yang dikenal pasti bertindak sama ialah Jerman, Itali, Belanda, Belgium dan Ireland.
Tidak hanya Eropah, sebahagian orang awam di Afrika Selatan juga dilaporkan turut terjangkiti dengan virus baharu tersebut yang didakwa lebih berbahaya berbanding COVID-19.
Malah Arab Saudi juga dilaporkan telah menggantung semua penerbangan dan visa antarabangsa sebagai usaha mengekang penularan berbahaya tersebut.
Difahamkan, strain baharu virus tersebut sudah dikesan buat pertama kalinya pada September dan disahkan kerajaan pada Oktober berikutnya.
Bagaimanapun, saranan langkah penutupan untuk tempoh lebih awal yang dicadangkan saintis dan pakar perubatan tidak diendahkan kerajaan.
Sumber: The Guardian, BBC