Seluruh pelusuk dunia pasti kenal dengan jenama Apple kerana segala produk keluarannya kelihatan lebih canggih setanding dengan harganya. Dengar sahaja jenama tersebut, pasti terlintas produk digital seperti telefon pintar, ipad hingga alat aksesori.
Jika sebelum ini, dunia digemparkan dengan keluaran terbaru iaitu telefon pintar yang dikenali iPhone 12, kali ini syarikat Apple dilapor akan melancarkan produk yang baru iaitu kenderaan jenama mereka sendiri.
Berikutan itu, kenderaan tersebut dipercayai akan dilengkapi dengan bateri baharu dan sistem pandu sendiri dikatakan bakal dilancarkan pada tahun 2024. Reka bentuk bateri baru akan lebih radikal di mana ia dapat mengurang kos bateri dan membenarkan kenderaan tersebut dipandu dengan jarak yang lebih jauh.
Malah, kereta Apple didakwa mempunyai beberapa sensor yang mampu mengimbas jarak yang berbeza. Beberapa sensor tersebut boleh didapati dari unit Apple sendiri yang dikembangkan secara mendalam. Sebagai contoh, model iPhone 12 Pro dan iPad Pro Apple yang dilancarkan tahun ini mempunyai sensor berkenaan.
Walau bagaimanapun, syarikat berkenaan mengatakan bahawa kemungkinan tahun pelancaran kenderaan tersebut ditunda kepada tahun 2025 atas faktor wabak pandemik COVID-19 yang berlaku.
Sumber: Reuters