Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dua Warga Singapura Ditemui Maut Di Rumah Inap 

Iqbal Yasir
warga singapura maut
Gambar: Bernama

Dua Warga Singapura Ditemui Maut Di Rumah Inap

KUALA LUMPUR — Dua warga Singapura ditemui maut dalam keadaan mencurigakan di sebuah rumah inap di Jalan Nadchatiram, Taman Taynton View, Cheras pada Jumaat, lapor Astro AWANI.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 12.53 tengah hari melalui panggilan kecemasan MERS 999.

Kata Aidil, seorang pengadu memaklumkan terdapat dua individu tidak sedarkan diri di dalam rumah inap berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa, seorang lelaki dan seorang wanita warga Singapura, ditemui terbaring di atas katil di salah sebuah bilik rumah inap berkenaan.

“Kedua-dua mangsa juga berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan.

“Mangsa lelaki berusia 43 tahun manakala wanita itu pula berusia 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Menurut beliau lagi, kedua-dua mangsa merupakan pemegang kad pengenalan Singapura dan masing-masing beralamat di Puchong dan Singapura.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kesan luaran pada tubuh badan kedua-dua mangsa.

“Bagaimanapun, mayat telah menunjukkan tanda-tanda pereputan serta berbau busuk, dipercayai telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.

“Saksi kejadian iaitu pekerja homestay, memberitahu dia tiba di lokasi pada jam 11.15 pagi dan mendapati pintu masih berkunci serta kasut mangsa masih berada di dalam.

“Selepas gagal mendapatkan respons daripada penghuni, dia menghubungi pengurus homestay yang kemudiannya mengarahkan supaya pintu dibuka menggunakan kunci pendua,” katanya lagi.

BACA: Tarikh Lihat Anak Bulan Zulhijah Pada 27 Mei

Sewaktu kejadian, penghawa dingin, kipas siling dan televisyen didapati berada dalam keadaan terpasang.

“Setelah membuka tingkap, saksi melihat kedua-dua mangsa terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Selain itu, satu bekas logam yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamin turut ditemui di lokasi kejadian,” jelasnya.

Siasatan yang dilakukan pihak polis mengesahkan tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam premis itu.

Kedua-dua mayat itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) bagi tujuan bedah siasat, untuk mengetahui punca sebenar kematian.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk kemungkinan berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang,,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Sumber: Astro AWANI