Siakap Keli
Gambar: Google

“Tiga Raksasa Bersatu & Naga Besar China Kuasai Dunia”, Wanita Buta, Baba Vanga Dakwa 2021 Penuh ‘Derita’

Penafian: artikel ini ditulis sekadar untuk menceritakan semula sejarah peribadi seseorang, bukan atas tujuan mengajak atau mempercayai ramalan dan segala dakwaannya.

Seorang wanita buta berasal dari Bulgaria, Baba Vanga pernah mendakwa tahun 2021 akan menjadi mimpi ngeri buat penduduk dunia apabila pelbagai peristiwa buruk diramalkan bakal berlaku.

Wanita berkenaan sebelum ini sering meramalkan perkara-perkara mistik di dunia beberapa tahun dahulu.

Dakwa Vanga atau nama sebenarnya Vangeliya Pandeva Gushterova, dunia akan menderita dengan banyak bencana besar ketika itu di mana tiga raksasa akan bersatu serta seekor naga yang besar akan merampas manusia.

“Masa-masa yang sukar akan tiba, manusia akan turut berpecah dengan kefahaman mereka sendiri.

“Kita akan menyaksikan peristiwa-peristiwa dahsyat yang bakal mengubah nasib serta takdir manusia,” katanya yang juga digelar ‘Nostradamus of the Balkans’, memetik laporan Daily Mail.

Meskipun telah meninggal dunia pada 1996 lalu pada usia 86 tahun, namun dikatakan kebanyakan peristiwa yang diramalkan sebelum kematiannya secara kebetulan berlaku.

Berikutan ramalan tentang naga besar tersebut, ramai penyelidik mentafsirkan bahawa naga itu ialah simbolik kepada kuasa besar China yang mendominasi ekonomi dunia.

2021 akan temui penawar kanser

Selain itu, dakwa Vanga, penawar bagi kanser juga dipercayai akan ditemui pada tahun hadapan dengan mendakwa penyakit tersebut akan ‘diikat’ dengan ‘rantai besi’.

Mengimbas kembali peristiwa serangan 9/11 ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 2001 lalu, Vanga sebelum itu didakwa pernah meramalkan bahawa akan ada dua ekor ‘burung besi’ melanggar bangunan tersebut dan ternyata, ianya berlaku.

Malah pandemik COVID-19 yang melanda dunia hari ini juga didakwa pernah diramalkan lebih awal ketika dia masih hidup lagi.

Seorang wanita warga Bulgaria, Neshka Stefanova Robeva, 73, mendakwa, dia mengetahui peringatan tentang COVID-19 itu sebelum kematian Vanga.

“Coronavirus akan berada di sekeliling kita,” dakwa Vanga, kata Neshka yang pernah bertemu wanita buta itu ketika hidup, merujuk laporan Daily Star.

Disebabkan beberapa ramalannya berkenaan isu-isu dunia dikatakan tepat dan hampir tepat, Vanga pernah dianggap idola dan sumber kepercayaan sesetengah ahli teori konspirasi.

Trump mati akibat sakit, Putin dibunuh & Eropah diserang senjata kimia

Selain itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump didakwa akan menderita masalah kehilangan pendengaran sehingga mati pada tahun hadapan.

Dalam masa sama, presiden Russia, Vladimir Putin pula didakwa perlu bersiap sedia melindungi dirinya ekoran akan berlaku komplot pembunuhan ke atasnya.

Dakwa Vanga lagi, Eropah pula harus berjaga-jaga dengan misi serangan kimia yang diramal bakal dilancarkan oleh pelampau ekstrimis Muslim yang tidak dinyatakan dari mana.

Ramalannya yang mengatakan ‘Eropah tidak ada lagi pada 2016’ pernah menarik perhatian dunia apabila Britain ketika itu memutuskan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Semua dakwaan dan ramalan Vanga tersebar luas hinggalah sampai ke pengetahuan individu-individu kenamaan termasuk Trump dan Putin sendiri.

Bagaimanapun, Trump menafikan ramalan itu dengan mengatakan tiada sebarang perkara buruk berlaku pada dua tahun terakhir ini, walaupun dirinya pernah dijangkiti COVID-19 bulan lalu.

Gambar: Google

Trump juga membuktikan bahawa ramalan bekas Presiden US, Barrack Obama yang akan menjadi presiden terakhir ternyata salah apabila dia menang pilihanraya dan diangkat menjadi presiden pada 2017 lalu.

Manakala Putin pula mendakwa bahawa komplot pembunuhan yang diramal ke atasnya tidak berlaku setakat ini, biarpun memang benar terdapat usaha tersebut pada 2012 lalu sebelum kawalan keselamatan peribadinya dipertingkatkan.

Malah ada yang mengakui dakwaan dan ramalan yang dijangka ke atas Eropah langsung tidak berlaku, salah satunya benua itu akan bertukar menjadi tanah yang kosong.

Penjajahan dan peperangan menggunakan senjata kimia oleh pejuang esktrimis Muslim ke Eropah juga dilaporkan tidak berlaku lagi setakat ini.

Menurut laporan Daily Mail lagi, banyak ramalan Vanga dikatakan sudah tidak berasas lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Vanga yang mendapat ilham di sebalik mata yang buta

Mengimbas kembali, Vanga dilahirkan pada 3 Oktober 1911 di Ustrumica, wilayah di bawah Empayar Uthmaniah (kini dikenali sebagai Strumica di utara Macedonia) dan dibesarkan di Rupite di wilayah pergunungan Kozhuh, Bulgaria.

Dilahirkan sebagai bayi pramatang, Vanga turut mengalami beberapa komplikasi kesihatan sejak kecil, namun dia juga turut memiliki kelebihan luar biasa.

Hidupnya mula berubah apabila ditakdirkan dirinya pernah dilambung angin tornado dalam satu nahas yang berlaku, mengakibatkan tubuhnya tercampak jauh dan hilang sebelum dijumpai orang beberapa hari selepas itu.

Ketika ditemui, tubuhnya mengalami kecederaan dan paling menyakitkan, kedua-dua matanya diselaputi pasir yang banyak sebelum menyebabkannya hilang penglihatan.

Bagaimanapun, di sebalik kehilangan deria itu, Vanga mendakwa diberikan kelebihan lain iaitu mampu ‘melihat’ pelbagai perkara termasuklah meramalkan waktu yang belum terjadi.

Atas kekebihan itu, Vanga dianggap sebagai tukang tilik dan menjadi ikutan ramai warga Bulgaria termasuk Russia sendiri.

Kisah Vanga dalam meramalkan isu-isu di sekeliling tersebar ke seluruh dunia hingga pernah difilemkan dalam dokumentari Vanga: The Visible & Invisible World.

Malah ‘jasa’ Vanga pernah diiktiraf kerajaan Bulgaria apabila kementerian pelancongan negara itu menjadikan rumah serta gerejanya diabadikan sebagai tempat pelancongan keagamaan di sana.

Vanga menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 Ogos 1996 dan mayatnya disemadikan di tanah perkuburan di Sofia, Bulgaria.

Sumber: Daily Mail, Wikipedia, Balkan Insight, Express

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'