Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Polis Nafi Stadium Tertutup Shah Alam Tempat Tampung Pesakit COVID-19

KUALA LUMPUR, 25 Dis — Polis menafikan sekumpulan individu ditempatkan di sebuah stadium tertutup di Shah Alam ekoran berlaku kesesakan di Hospital Sungai Buloh yang tidak dapat menampung jumlah pesakit COVID-19 seperti tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan berita yang disebarkan melalui video klip itu adalah berita palsu.

“Masyarakat diminta bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Arjunaidi juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sebarang berita yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

Tegasnya perbuatan tersebut boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni dan menggugat ketenteraman awam sambil meminta orang ramai mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu isu atau berita.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story