Siakap Keli
Kredit: Google/Dr Latif Saad

“Kolesterol Dalam Badan Banyak Dihasilkan Badan Sendiri”, Doktor Kongsi Fakta Mengenai Kolesterol

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Ramai yang sedia maklum bahawa kandungan kolesterol yang tinggi di dalam badan boleh meningkatkan risiko serangan jantung mahupun strok.

Bagaimanapun, anda tidak akan tahu kandungan kolesterol di dalam badan anda melainkan dengan ujian darah. Jadi, kurus pun belum tentu selamat ya.

Baru-baru ini, seorang doktor, Dr Abdul Latif Saad telah berkongsi beberapa fakta mengenai kandungan kolesterol dalam badan seseorang. Katanya, kolesterol dalam makanan sebenarnya tidak memainkan peranan yang tinggi dalam mempengaruhi bacaan kolesterol dalam badan seseorang.

Sebaliknya, sebahagian besar kolesterol adalah dihasilkan oleh tubuh badan kita sendiri melalui proses tertentu. Bagi mengetahui lebih lanjut tentangnya, mari baca perkongsian beliau di bawah.

Hari ini saya nak ajar cara yang paling mudah untuk anda kurangkan kolesterol dalam badan.  Jika anda boleh buat benda-benda ini, anda sebenarnya tak perlu pun nak pakai suplemen bagai.

Sebelum itu, anda semua perlu tahu tentang beberapa fakta.

1. Kolesterol dalam makanan tidak banyak mempengaruhi bacaan kolesterol dalam badan

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Jika anda ambil banyak makanan yang mempunyai kolesterol sebagai contoh kuning telur, ia hanya sedikit atau tidak mempengaruhi langsung bacaan kolesterol dalam badan anda. Ini adalah berdasarkan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh American Heart Association[1].

Bahkan terdapat kajian yang mengatakan pengambilan telur(yang memang ketahui banyak kolesterol) tidak meningkatkan risiko untuk menghadapi serangan sakit jantung[2]

Kenyataan ini bukanlah bermaksud semua daripada kita boleh mengambil makanan yang tinggi kolesterol sesuka hati. Tetapi ingin membawa maksud kolesterol dalam makanan sedikit sahaja mempengaruhi kolesterol dalam badan. Dan bagi mereka yang mempunyai risiko seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi, masih perlu mengelakkan makanan yang tinggi kolesterol.

Bahkan ada juga kajian yang menyatakan pengambilan kolesterol yang banyak dalam makanan boleh merosakkan hati[3].

Jadi, sederhana ialah kuncinya. Lagipun, selain daripada telur, makanan lain yang mempunyai tinggi kolesterol juga mempunyai kandungan lemak yang tinggi juga.

2. Kolesterol dalam badan banyak dihasilkan oleh badan sendiri

Perlu diketahui bahawa bacaan kolesterol yang selalu kita periksa itu majoritinya adalah daripada kolesterol yang dihasilkan oleh badan kita sendiri dan kebanyakkannya dihasilkan pada waktu malam.

Sebab itulah jika anda mengalami masalah kolesterol yang tinggi, doktor selalunya akan memberikan ubat dari jenis statin.

Ubat jenis ini adalah bertujuan ‘merencatkan’ penghasilan kolesterol dari dalam badan. Dan ubat ini selalunya disuruh makan sebelum tidur, sebab waktu penghasilan kolesterol yang paling tinggi adalah pada waktu malam ketika kita tidur

3. Bahan binaan kolesterol adalah dari gula dan lemak

Jadi kolesterol dalam badan kita ini dihasilkan oleh apa?

Jawapannya adalah dari gula dan lemak[4]. Apabila kita mengambil gula dan lemak, bahan makanan ini akan ditukarkan kepada satu kompaun bernama Acetyl CoA. Acetyl CoA inilah bahan yang digunakan untuk menghasilkan tenaga.

Akan tetapi jika ia tidak digunakan, maka bahan ini akan ditukarkan kepada satu bahan simpanan yang lain seperti glycogen, lemak dan juga kolesterol.

Untuk glycogen selalunya ia ada had simpanannya. Tetapi lemak dan kolesterol ini selalunya tiada.

Cara untuk mengurangkan bacaan kolesterol

1. Kurangkan pengambilan gula

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Jika anda mengambil gula anda boleh jadi gemuk dan kolesterol anda akan tinggi. Ada sesetengah orang walaupun ambil gula banyak, tapi beliau masih kurus tetapi bacaan kolesterolnya mesti tinggi.

Seperti yang dinyatakan diatas gula ini akan ditukarkan kepada kompaun acetyl CoA dan akan ditukarkan kepada kolesterol ataupun lemak jika tidak digunakan.

Bahkan jika anda mengambil gula jenis fruktosa, kolesterol anda akan lebih tinggi. Ini kerana gula fruktosa majoritinya akan diproses di hati. Manakala, hati pula kilang penghasilan kolesterol. Jadi anda seolah-olah memberi bahan binaan yang banyak pada kilang(hati) untuk menghasilkan lebih banyak kolesteriol

2. Kurangkan pengambilan lemak

Lemak yang tidak bagus adalah lemak trans dan juga lemak tepu(seperti lemak haiwan). Seperti di atas ia memberi lebihan acetyl CoA yang boleh ditukarkan kepada kolesterol.
Anda disyorkan mengambil lemak tidak tepu untuk mengurangkan kolesterol anda

3. Tingkatkan penggunaan tenaga

Dengan anda meningkatkan penggunaan tenaga seperti bersenam, maka tiada lagi lebihan acetyl CoA. Bermaksud penggunaan kalori anda melebihi kalori yang anda ambil melalui makanan.
Oleh itu, tiada atau sedikit sahaja kolesterol yang akan dihasilkan menyebabkan bacaan kolesterol anda semakin menurun.

Kesimpulan

Sebenarnya anda tidak memerlukan suplimen atau makanan kesihatan untuk turunkan kolesterol anda. Cukup 3 perkara ini anda buat, maka anda akan membuatkan badan anda tidak mampu menghasilkan kolesterol yang berlebihan

Rujukan:

1. Robert H. Eckel, John M. Jakicic, Jamy D. Ard, Janet M. de Jesus, Nancy Houston Miller, Van S. Hubbard, I-Min Lee, Alice H. Lichtenstein, Catherine M. Loria, Barbara E. Millen, Cathy A. Nonas, Frank M. Sacks, Sidney C. Smith, Laura P. Svetkey, Thomas A. Wadden and Susan Z. Yanovski. 2013 AHA/ACC Guideline on Lifestyle Management to Reduce Cardiovascular Risk: A Report of the American College of Cardiology/American Heart Association Task Force on Practice Guidelines

2. Shin JY, Xun P, Nakamura Y, He K. Egg consumption in relation to risk of cardiovascular disease and diabetes: a systematic review and meta-analysis. Am J Clin Nutr. 2013;98(1):146-159. doi:10.3945/ajcn.112.051318

3. Püschel GP, Henkel J. Dietary cholesterol does not break your heart but kills your liver. Porto Biomed J. 2019;3(1):e12. Published 2019 Jun 29. doi:10.1016/j.pbj.0000000000000012

4. DiNicolantonio JJ, Lucan SC, O’Keefe JH. The Evidence for Saturated Fat and for Sugar Related to Coronary Heart Disease. Prog Cardiovasc Dis. 2016;58(5):464-472. doi:10.1016/j.pcad.2015.11.006

Kredit: Dr Latif Saad

Sumber: Dr Latif Saad, Healthline

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.