Siakap Keli
Gambar : Google

7 Cara Berkesan Membersihkan Ruang Dalam Rumah Selepas Dilanda Banjir

Setiap tahun negara kita pasti akan mengalami banjir yang teruk sehingga mengakibatkan banyak barang dan insfrastruktur terjejas. Segala keperluan peribadi dan barang harian rosak dan tidak boleh digunakan disebabkan air air banjir yang masuk ke dalam rumah.

Setelah beberapa hari air banjir surut, rumah akan mengalami kekotoran dan perlu dibersihkan dengan segera. Rumah yang tidak dibersihkan akan membuatkan bakteria semakin merebak dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit.

Sekiranya rumah anda pernah dilanda banjir, ikut cara dan langkah ini untuk mengelakkan rumah anda mengalami sebarang kerosakan dan kebersihan dalam rumah selepas keadaan banjir.

Kenal pasti kerosakan

Semasa banjir, sudah pasti barang-barang seperti perabot, pakaian, peralatan rumah dan lain-lain mengalami kerosakan. Sebelum anda membuat pembersihan dan membaiki barang-barang yang rosak, pastikan anda menghubungi pihak insurans untuk membuat tuntunan barang-barang yang tidak boleh digunakan. Anda perlu mengambil gambar barang keperluan yang terjejas dan hantar kepada pihak insurans. Ini sebagai bukti supaya mereka boleh mengenal pasti dan membantu anda yang terjejas akibat daripada banjir.

Keluarkan sisa air 

Setelah air banjir surut, ia akan meninggalkan serpihan lopak-lopak air dan tanah di kawasan celahan dalam rumah. Gunakan kaedah pam air untuk membersihkan banjir daripada segala kekotoran atau air yang tersumbat.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan alat dehumidifier atau apa-apa alat yang boleh mengeringkan sisa-sisa air banjir yang terdapat di dalam rumah.

Sediakan peralatan pembersihan

Membuat pembersihan rumah selepas banjir memerlukan alat pembersihan. Hal ini supaya memastikan rumah dibersihkan tanpa meninggalkan sebarang kekotoran akibat daripada banjir teruk.

Antara peralatan keselamatan semasa membuat pembersihan selepas banjir seperti berikut :

  • Sarung tangan getah
  • Kaca mata pelindung
  • Topeng pelitup muka
  • Pad lutut
  • Pakaian lengan panjang
  • Kasut boot
  • Baldi
  • Klorox
  • Tuala
  • Berus
  • Dehumidifier
  • Plastik sampah
  • Tong sampah
  • Pisau utiliti
  • Tukul
  • Pengikis lantai
  • Penyapu

Senarai semak pembersihan 

Langkah 1: Buang lumpur dan tanah dari sisa banjir

Setelah air dipam keluar, pakai sarung tangan dan kumpulkan segala sampah atau kekotoran lalu dimasukkan ke dalam tong sampah. Gunakan sekop untuk membuang sisa banjir dan dikeluarkan dari rumah.

Langkah 2: Buang barang yang sudah rosak

Banjir yang teruk membuatkan banyak perabot rosak dan reput. Ia akan menghasilkan banyak kulat dan lumut pada barang yang sudah ditenggelami air. Oleh itu, pastikan anda buang barang-barang yang sudah rosak seperti tilam, bantal, selimut, pakaian dan lain-lain ke dalam tong sampah. Jangan simpan barang-barang yang sudah rosak walaupun harganya mahal kerana ia akan ‘mengotorkan’ lagi keadaan dalam rumah.

Langkah 3:  Sediakan tempat kering untuk barang yang boleh digunakan

Tidak semua barang di dalam rumah selepas keadaan banjir sudah rosak. Mungkin anda sudah meletakkan barang-barang tersebut di tempat tinggi. Pastikan barang yang masih baik dan elok digunakan diasingkan dan diletakkan di satu tempat yang kering. Sebelum anda menggunakan barang atau alatan, lap barang tersebut menggunakan kain dan pembersih dengan teliti.

Selain itu, semua langsir perlu dicabut dan dibersihkan. Terpulang kepada anda sama ada mahu buang atau dibersihkan. Jika anda mahu bersihkan, pastikan basuh dengan air bersih dan guna pembasmi kuman seperti clorox. Begitu juga dengan permaidani dan barang keperluan yang lain. Jika terdapat kotoran yang degil atau terkoyak disarankan untuk anda buang sahaja dan gantikan yang baru.

Langkah 4: Cabut lantai yang rosak

Kebiasaanya karpet yang diserap air banjir sukar untuk dibersihkan. Air mudah diserap dengan cepat dan merosakkan lantai di bawah. Lantai kayu atau lantai lamina juga akan melengkung disebabkan air masuk dengan banyak. Oleh itu, cabut kesemua lapisan lantai dan terus buang.

Langkah 5: Periksa bahagian dinding jika terdapat sebarang gelembung

Setelah banjir kembali surut, pastikan anda periksa seluruh dinding di rumah anda. Guna alat meter kelembapan untuk periksa kawasan dalam rumah anda. Jika ia berada di paras hijau, anda sudah boleh mengecat semula baru dan sebelum itu pastikan dinding dibersihkan dulu dengan alkohol atau minyak sebelum memulakan cat.

Langkah 6: Bersihkan dari semua permukaan yang kotor

Langkah yang paling penting perlu dibuat selepas banjir ialah membersihkan dalaman rumah menggunakan alat pembasmi kuman. Caranya sangat mudah. Anda perlu letakkan sedikit peluntur di dalam baldi dengan sedikit air dan mulakan pencucian bermula dari bahagian dinding hingga ke luar. Pastikan anda berus dan cuci di celah-celah kawasan yang disaluti lumpur.

Sekiranya  masih terdapat lumpur atau kotoran di dinding, jangan biarkan sehingga kering. Ia mungkin akan mendatangkan bakteria sekaligus membahayakan kesihatan anda sekeluarga.

Langkah 7 : Pastikan rumah dapat pengudaraan yang baik

Sebelum anda membawa pulang barang-barang ke dalam rumah, pastikan bilik sudah dibersihkan. Selain itu, semasa membuat pembersihan, pastikan pintu dan tingkap dibuka untuk memberi udara keluar dan mudah untuk mengeringkan barang-barang di dalam rumah. Jangan biarkan pintu dan tingkap tertutup bimbang udara berkuap menjadikan rumah berbau dan tidak selesa untuk diduduk dengan jangka masa yang lama disebabkan barang-barang lembab dan tidak kering.

Sumber: Dumpsters.com