Proses mencabut gigi sememangnya sangat digeruni oleh sesetengah orang.
Apatah lagi jika sudah lama menahan rasa sakit gigi, ia pastinya detik yang ‘mendebarkan’.
Namun, anda juga sebenarnya perlu merisaukan keadaan gigi selepas menjalani rawatan cabutan atau pembedahan kecil.
Menurut Doktor Mohd Khairul Izwan melalui perkongsiannya di Facebook, anda sebenarnya tidak boleh minum air menggunakan straw.
Ikuti perkongsiannya dengan lebih lanjut di bawah ini.
Dilarang untuk minum air menggunakan straw
Tahukah anda, bagi individu yang selesai menjalani rawatan cabutan gigi sama ada secara cabutan biasa ataupun secara pembedahan kecil, anda adalah dilarang untuk minum air menggunakan straw?
Penggunaan straw atau penyedut minuman, boleh meningkatkan tekanan di dalam mulut serta menggerakkan otot-otot pipi anda secara maksimum.
Ini akan mengakibatkan terjadinya gangguan pada proses pembekuan darah pada tempat bekas cabutan gigi, dan menyebabkan anda mengalami gejala yang disebut sebagai “dry socket”.
Dry socket ini terjadi apabila darah beku yang sepatutnya mengisi tempat bekas cabutan gigi tersebut tertanggal dan menyebabkan saraf yang berada di bawah tulang rahang terdedah.
Dry socket ini disertai oleh rasa sakit serta ketidakselesaan selama beberapa hari selepas cabutan gigi dilakukan. Keadaan ini merupakan suatu komplikasi selepas cabutan gigi yang boleh dielakkan sekiranya anda mengikuti arahan yang diberikan oleh doktor gigi anda selepas rawatan selesai dijalankan.
Oleh itu, pastikan anda tidak minum menggunakan straw sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam selepas cabutan gigi dibuat. Kalau nak minum air, minum dengan cara meneguk air dari gelas atau cawan seperti biasa sahaja ya.
Anda juga perlu mengelak daripada berkumur-kumur, merokok serta makan atau minum sesuatu yang panas selepas cabutan gigi bagi mengelakkan anda mengalami gejala dry socket ini.
Semoga bermanfaat!
“Anda jaga gigi, anda tidak rugi”.
Dr Mohd Khairul Izwan,
Suka berkongsi.
Jemput “Follow” FB saya dan set “Favourite” supaya anda tidak terlepas info yang menarik dan sangat berguna tentang kesihatan pergigian.
#DakwahGigi
Sumber: American Dental Association (ADA)
Sumber: Mohd Khairul Izwan