Siakap Keli
Gambar via Bernama

COVID-19: PM Buat Pengumuman Khas Isnin Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman khas pada Isnin mengenai tindakan yang akan dilaksanakan kerajaan berhubung situasi semasa jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan sejak kebelakangan ini.

Semasa memaklumkan perkara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memandang serius dan sentiasa memantau situasi semasa trend peningkatan jangkitan yang mencatatkan empat digit bermula penghujung November 2020, sehingga rekod tertinggi kes harian COVID-19 dicatatkan semalam dengan 3,027 kes baharu.

“Kerajaan sedang memperhalusi dan menilai tindakan-tindakan yang perlu diambil segera bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19 termasuk mempertimbangkan prosedur operasi standard lebih ketat melibatkan sektor sosial bagi mengurangkan pergerakan dan risiko COVID-19,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang dengan peningkatan kes itu, selain sangat memahami beban tugas yang dihadapi petugas kesihatan berikutan peningkatan kes yang mendadak.

Jelasnya, ia lebih-lebih lagi ketika beberapa negeri ketika ini sedang diuji bencana banjir, dan ramai yang bimbang jika bencana itu akan menjadi satu lagi penyebab kepada penularan COVID-19 ini.

Bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan pekerja asing, beliau berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan 14,212 pemeriksaan di 8,063 tapak pembinaan seluruh negara sejak 24 Julai lepas hingga semalam.

“Secara kumulatif, sejak April 2020 sehingga 7 Jan 2021, 19 buah tapak pembinaan telah diarahkan tutup kerana tidak patuh prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 119,940 pekerja asing telah menjalani ujian saringan dan melibatkan 4,458 majikan sehingga kini.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan 2,574 individu disahkan positif COVID-19 manakala 117,366 lagi adalah negatif menerusi program ujian saringan pekerja asing yang melibatkan 783 klinik.

“Kita harap majikan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk menghantar pekerja menjalani ujian saringan kerana kegagalan pekerja disaring boleh menyebabkan tindakan diambil dibawah Akta 342,” katanya.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, beliau berkata 277 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan SOP melibatkan 276 individu direman dan seorang lagi dikompaun.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata negara kekal dengan polisi yang tidak membenarkan pelancong asing memasuki Malaysia buat masa ini.

Meskipun terdapat cadangan bagi Qatar Airways untuk membawa pelancong ke Langkawi dengan SOP yang ketat, beliau berkata kerajaan masih tidak membenarkan pintu sempadan dibuka untuk pelancong asing.

Sumber:Bernama

" "