Siakap Keli
Kredit: Bernama

PKP: Sesi Persekolahan Bersemuka Hanya Libatkan Murid Calon SPM, SVM, SKM, STPM, STAM Dan DVM, Murid Sekolah Rendah Hingga Tingkatan 4 Ikuti PdPR

Putrajaya, 11 Jan – Hanya calon peperiksaan penting pada tahun ini dibenarkan menjalani pembelajaran secara bersemuka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Dalam kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) sebentar tadi, sesi persekolahan itu perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Murid yang terlibat adalah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) pada 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Menurut KPM, murid terlibat akan dibenarkan pulang ke asrama bermula 16 Januari ini dengan kebenaran khas untuk merentas negeri. Pihak sekolah akan mengeluarkan surat kebenaran khas untuk tujuan tersebut, tulis kenyataan itu.

Sementara itu, semua murid sekolah rendah, murid tingkatan 1 hingga 4 dan murid semester 2 SVM dan DVM di institusi pengajian di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula 20 Januari 2021 ini .

Bagi Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke Tingkatan 1 pula, pentaksiran akan berlangsung pada 20 hingga 29 Januari ini. Pentaksiran kemasukan ke tingkatan 4 pula akan diadakan antara 15 hingga 25 Februari 2021 akan datang. Pihak KPM akan mengeluarkan surat kebenaran khas untuk merentas negeri ke pusat pentaksiran yang ditetapkan.

Selain itu, semua guru dibenarkan ke tempat bertugas sebelum 20 Januari ini bagi pengoperasian sekolah di mana guru yang terlibat dengan peperiksaan penting di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk melaksakanakan PdP secara bersemuka. Pihak sekolah akan mengeluarkan surat kebenaran khas bagi tujuan tersebut.

Tambah KPM, pelajar di kolej matrikulasi kawasan PKP perlu kekal di kolej bagi sesi pembelajaran secara hibrid di institus berkenaan. Bagi pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), mereka akan menjalani pengajian secara dalam talian bermula 17 Januari bagi semua program.

Di samping itu, semua tadika swasta yang berdaftar pula dibenarkan beroperasi secara bersemuka.

Bagi institut pendidikan di kawasan PKPB dan PKPP, pengoperasian adalah tertakluk kepada takwim institusi masing-masing, tulis kenyataan itu.

KENYATAAN MEDIAPENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Posted by Kementerian Pendidikan Malaysia on Monday, January 11, 2021

Sumber: KPM