Siakap Keli
Gambar Via Antarafoto

(Video) Bangunan Pejabat Gabenor Roboh, 3 Maut & 24 Cedera Dalam Kejadian Gempa Bumi Di Sulawesi

Seramai tiga orang dilaporkan telah terkorban dalam kejadian gempa bumi yang berlaku awal pagi tadi di Sulawesi, Indonesia, lapor Republika.co.

Badan Pengurusan Bencana (BPNB) negara itu melaporkan bahawa setakat ini seramai 24 orang dilaporkan mengalami kecederaan dan ada kemungkinan jumlah tersebut akan meningkat.

Tambah BPNB lagi, kira-kira 2,000 orang juga terpaksa dipindahkan akibat bencana alam itu.

Menerusi laporan Harian Kompas, gempa berkekuatan 6.2 skala Richter yang berlaku di Mejene dan Mamuju, Sulawesi Barat, itu juga menimbulkan banyak kerosakan bangunan termasuk Pejabat Gabenor Sulawesi Barat.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengesahkan bahawa gempa bumi tersebut berpusat sekitar 6 kilometer timur laut bandar Majene.

Pusat gempa Majene kali ini sangat berdekatan dengan sumber gempa yang mencetuskan tsunami pada 23 Februari 1969 dengan kekuatan 6.9 skala Richter pada kedalaman 13 kilometer.

Semalam, gempa bumi 5.9 skala Richter juga dilaporkan telah berlaku di Sulawesi.

Sumber: Republika.co, Harian Kompas

Sofea

There's always another side to every story