Siakap Keli
Gambar Via Google/ Salkukhairi Abd Sukor

Apa Nak Buat Kalau Jiran Tiba-tiba Bina Bonggol Dekat Jalan Orang Ramai Guna? Peguam Ini Ada Jawapannya Dari Sudut Undang-undang

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Lumrah hidup berjiran, mesti terkadang akan ada ‘perselisihan’ yang menimbulkan ‘sengketa’.

Termasuk apabila melibatkan soal tanah dan kepentingan penduduk yang lain seperti pembinaan bonggol jalan.

Apa tindakan yang boleh dilakukan jika situasi sebegitu berlaku?

Menerusi kiriman yang dimuatnaikĀ  di Facebook oleh peguam hartanah, Salkukhairi Abd Sukor, beliau berkongsi mengenai tindakan yang boleh dilakukan dari segi perundangan hartanah.

Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Beberapa hari lepas tular di media sosial seorang individu dikenali sebagai Cikgu Li berkongsi gambar jalan masuk ke rumahnya yang dibina bonggol, bukan satu tapi 11 bonggol, oleh jirannya.

Bonggol yang dibina menggunakan tar itu dikatakan dilakukan oleh jirannya yang kononnya tidak berpuas hati dengan Cikgu Li yang dakwanya membawa kereta laju melalui jalan tersebut.

Ada yang minta saya komen tentang isu tersebut beberapa hari lepas.

Disebabkan agak sibuk, saya hampir terlupa untuk memberi komentar tentang kes tersebut.

Walaupun dipercayai jiran tersebut telah pun meminta maaf dengan tindakannya tersebut, tetapi sebagai panduan kepada masyarakat pada masa akan datang seandainya berhadapan dengan isu yang sama selepas ini, elok juga rasanya saya kongsikan beberapa tindakan dari segi perundangan hartanah yang boleh dilakukan.

Jika berlaku situasi di atas kepada anda atau kepada penduk-penduduk yang lain, antara tindakan yang boleh dilakukan adalah:

1. Sebaiknya elok anda/ penduduk-pendudk buat semakan di pejabat tanah sama ada kawasan atau jalan yang dibuat halangan/bonggol itu adakah termasuk dalam kawasan tanah milik persendirian beliau atau tidak.

2. Jika terbukti daripada semakan yang dibuat, ianya bukan dalam kawasan tanah persendirian beliau, maka anda boleh buat laporan polis dan laporan kepada pihak berkuasa tempatan atas alasan halangan/ bonggol tersebut menyebabkan kacau ganggu terhadap ketenteraman awam.

3. Walau bagaimanapun, seandainya jalan tersebut memang dalam kawasan tanah beliau, boleh follow item no 6 dan 7 di bawah.

4. Sebaiknya, semak juga dengan juru ukur berlesen untuk sahkan ukuran dan keluasan sebenar tanah beliau. Jika kawasan yang beliau buat halangan/ bonggol itu bukanlah termasuk dalam tanah beliau, tindakan dalam item 2 di atas boleh diambil.

5. Semak juga dengan pejabat tanah sama ada jalan yang dibuat halangan/ bonggol itu adakah telah digazetkan sebagai jalan kerajaan atau tidak. Jika sudah digazetkan sebagai jalan kerajaan, sesiapun tidak berhak membuat sebarang halangan di atas jalan tersebut. Jika buat halangan juga, penduduk boleh ambil tindakan seperti dalam item 2 di atas.

6. Jika jalan tersebut tidak digazetkan sebagai jalan kerajaan dan disahkan termasuk dalam tanah tuan tanah tersebut, anda / penduduk boleh berbincang dengan tuan tanah itu untuk dapatkan hak ismen (hak lalu lalang) terhadap laluan tersebut di bawah peruntukan Seksyen 282 Kanun Tanah Negara. Biasanya hak ismen ini memerlukan pemilik tanah bersebelahan yang menggunakan laluan itu membayar sedikit bayaran sama ada secara bulanan atau tahunan kepada tuan tanah tersebut atas persetujuan bersama kesemua pihak. Dan setelah dipersetujui bersama, ismen tersebut hendaklah didaftarkan di pejabat tanah.

7. Jika tuan tanah tersebut tidak bersetuju untuk memberikan hak ismen kepada penduduk lain, penduduk boleh failkan permohonan di pejabat tanah untuk dapatkan hak lalu lalang pentadbir tanah (LAROW) di bawah peruntukan Seksyen 387 Kanun Tanah Negara. Pejabat tanah akan panggil tuan tanah tersebut dan wakil penduduk untuk perbincangan/ inkuiri. Pentadbir tanah berhak keluarkan perintah hak lalu lalang pentadbir tanah (LAROW) melalui tanah tersebut demi kepentingan penduduk awam.

8. Jika perintah LAROW telah dikeluarkan oleh pejabat tanah, penduduk tanah bersebelahan atau pihak kerajaan tidak perlu bayar sebarang pampasan kepada tuan tanah tersebut. Ini kerana tanah tersebut masih kekal milik beliau. Ianya hanyalah arahan pejabat tanah kepada tuan tanah untuk membenarkan jalan tersebut digunakan sebagai laluan awam. Melainkan kerajaan bersetuju untuk ambil tanah tersebut di bawah Akta Pengambilan Tanah, maka kerajaan perlu bayar pampasan kepada tuan tanah tersebut.

9. Sekiranya tuan tanah tersebut tidak berpuas hati dengan perintah LAROW yang dikeluarkan oleh pejabat tanah, beliau boleh cabar di mahkamah tinggi. Dan mahkamah akan putuskan kedudukan sebenar.

Walaupun panduan ini nampak agak details, tetapi diharap ia dapat serba sedikit memberi pencerahan dan langkah penyelesaian dan tindakan yang patut dan boleh diambil untuk menyelesaikan masalah seumpamanya seandainya berlaku lagi pada orang lain pada masa akan datang.

Sekian, Terima kasih.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
K-LITERASI

Sumber: Salkukhairi Abd Sukor

Sofea

There's always another side to every story