Siakap Keli
Gambar: Google

“Sambil Aku Melayan Mata Nak Tidur, Tu Tiba-tiba..”, Wanita Kongsi Pengalaman Seram Ditemani Bunyi-bunyi Misteri Semasa Bercuti

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bukan kita sahaja penghuni dunia ini. Ada juga makhluk lain yang menemani di sekeliling, hanya kita yang tidak menyedarinya.

Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai alam ghaib kerana ia sebahagian daripada rukun iman. Bagaimanapun, hanya kepada Allahlah layak kita takuti kerana Dialah yang berkuasa ke atas segala sesuatu.

Baru-baru ini, seorang wanita berkongsi pengalaman seramnya ketika bercuti di kawasan peranginan terkenal di Malaysia. Kongsi Puan Siti Nazurah Abd Moin dalam Kelab Cerita Hantu Malaysia, kejadian itu berlaku ketika dia sekeluarga menginap di sebuah inap desa di sana.

Mari baca kisahnya.

Salam sejahtera semua warga KCHM. Aku nak cerita sikit pengalaman pasal tidur 1 malam di rumah berhantu. Tak sangka aku akan alami sendiri, sebelum ni selalu baca je pengalaman-pengalaman orang lain.

Nak dijadikan cerita aku sekeluarga pergi bercuti di satu tempat yang agak popular bagi rakyat Malaysia. Kami sewa homestay (apartment) untuk satu malam. Apartment ni ada 3 bilik, tapi macam biasa semua tidur dalam master bedroom sebab anak-anak kecik lagi. Lagipun pun dalam bilik tu ada 2 katil queen dan bilik air sekali. Jadi bilik kedua dan ketiga memang tak ada siapa tidur.

Apartment ni sama macam yang tipikal la, masuk-masuk je pintu jumpa dapur dulu belah kiri. Hall memanjang sampai ke balkoni. Tengah-tengah hall ada meja makan 6 kerusi. Dekat sliding door nak keluar ke balkoni ada sofa L-shape. Bilik-bilik semua belah kiri.

Malam tu macam biasa je, dah pukul 9 lebih jadi aku suruh semua 3 orang anak aku pergi tidur dalam bilik dulu sebab esok nak bangun awal. Sementara tu aku kemas-kemas dapur dan meja makan sebab baru lepas masak dan makan malam.

Mungkin sebab keletihan anak yang sulung dan kedua terus tidur, tapi anak yang bongsu ni keluar bilik cakap ada hantu tapi dia gelak-gelak. Aku memang tak ambil pusing apa yang dia cakap sebab anak aku yang ni memang suka bergurau dan aktif sikit.

Dah pukul 11.30 malam kot aku pun masuk la bilik nak tidur, anak yang ketiga yang tadi duk teman aku mengemas pun ikut masuk bilik sekali, dia memang tidur sebelah aku la. Kakak dan abang dia tidur kat katil sebelah. Tak lama tu si adik tu pun tidur, nampak sangat dia sebenarnya mengantuk tapi duk tahan mata. Sambil-sambil aku melayan mata nak tidur tu tiba-tiba terdengar bunyi macam orang tarik kerusi kat luar bilik.

Tempat ni memang sejuk tau jadi aircond tak ada, kipas pun kami tak buka. Kat luar pula hujan renyai-renyai memang sejuk sampai ke tulang juga. Jadi memang sunyi dan bunyi orang tarik kerusi tu sangat jelas macam kat luar bilik je (meja makan memang depan bilik). Mula-mula aku ingat perasaan aku je sebab penat kan, jadi aku abaikan jela pejam mata nak tidur. Tapi itulah permulaan bagi malam yang panjang bagi aku.

Bunyi tarik kerusi tu makin rancak, macam orang alih-alihkan perabot. Mujur suami ada kat sebelah jadi perasaan takut tu kira terkawal la juga. Aku paksa diri untuk tidur sekali dengar pula macam orang main pasir. Kali ni bunyi tu betul-betul kat siling atas kepala tempat kitorang tidur.

Tau kan macam mana bunyi pasir kalau kita genggam pastu lepaskan dari jarak yang agak tinggi dari lantai. Ha lebih kurang macam tu la bunyi dia. Macam bunyi orang baling pasir pun ada. Masa ni suami aku yang dah mamai-mamai tu pun terus terbuka mata dia. Sebab bunyi atas kepala kan. Aku memang dah peluk lengan dia dah la sambil baca apa yang patut.

Ada dalam dua kali bunyi pasir tu dia sambung pula dengan alih perabot. Suami pun dah sambung tidur balik tapi mata aku tak boleh lelap. Kadang-kadang dengar macam bunyi guli jatuh ke lantai dari tempat tinggi. Tap tap tap bunyi dia. Aduh memang meremang rasa. Walau badan letih mengantuk yang teramat tapi oleh kerana bunyian tu sangat jelas di telinga jadi aku tak boleh nak tidur.

Last aku tengok jam pukul 2.30 pagi, masih tak boleh tidur, masih lagi rancak bunyi alih perabut dan kadang-kadang bunyi macam orang berlari-lari dari hujung ke hujung, berulang-ulang. Aku teruskan baca ayat kursi sambil mata terpejam berharap sangat aku terlelap.

Waktu ni masa memang macam lambat sangat berlalu. Berharap sangat cepatlah datang siang. Perasaan takut tu memang ada tapi bila fikir suami ada kat sebelah dan benda tu pun tak tunjuk diri kira okay la, aku masih boleh tahan.

Bunyi-bunyi tu terusan berselang-seli beberapa waktu sehinggalah kemuncak ketakutan yang aku rasai ialah bila tiba-tiba je dengar bunyi orang flush mangkuk tandas dalam bilik air, dalam bilik yang kitorang tidur tu.

Masa ni memang aku dah gigil. Mata pejam rapat la takut dibuatnya tiba-tiba pintu bilik air terbuka sendiri dan dia keluar tunjukkan diri pulak. Korang kalau kat tempat aku pun mesti rasa apa yang aku rasa. Dah la bilik air tu memang kat hujung kaki.

Lampu bilik air pulak memang aku saja pasang, standby supaya anak tak takut nak pergi bilik air tengah-tengah malam kalau rasa nak terkucil ke apa.

Debar dia masa ni memang rasa macam nak pecah dada ni, laju sangat degupan jantung tu aku rasa. Kepala pula rasa kembang panas semacam. Risau sangat kalau pintu bilik air tu terbuka dan terjengul je sosok yang menyeramkan. Dalam bayangan aku duk teringat-ingat cerita kawan-kawan sebelum ni yang benda tu tunjukkan diri dengan senyuman yang mengerikan atau muka penuh darah. Aduh bila teringat balik memang rasa seram sejuk weh.

Masa terasa macam terhenti beberapa saat. Sunyinya memang sunyi total walau kat luar hujan dah agak lebat juga. Beberapa saat lepas dari bunyi flush tu dia sambung main perabot, dada ada rasa sikit lega dia tak munculkan diri. Lama-lama aku tertidur juga walau bunyi-bunyian tu masih ada, itupun tidur-tidur ayam sebab aku tersedar pukul 5 pagi.

Dalam hati aku syukur sangat anak-anak tidur memang lena, kalau dorang pun dengar apa yang aku dengar tak tau la macam mana nak handle perasaan takut dorang tu.

Aku yakin bunyi-bunyi tu bukan perasaan aku je, sebab aku memang tak terfikir langsung pasal seram-seram ni sebelum tu. Laman KCHM ni pun ada dalam 2 minggu aku tak buka sebab sibuk buat persiapan nak balik kampung dan bercuti ni.

Pagi bila dah cerah sikit aku pun kejut semua untuk solat subuh kemudian aku pun keluar dari bilik tu. Memang tak ada apa-apa perubahan pun dari malam aku masuk bilik tu. Semua perabot tetap kat tempat dia tak ada satu pun yang beralih. Ingatkan benda tu nak tolong ubah susun atur perabot yang ada tu supaya hiasan dalaman jadi lebih menarik.

Masa dalam perjalanan balik dalam kereta aku saja buka cerita pada suami, aku tanya dia ada dengar apa-apa tak semalam. Suami pun kata ya dia ada dengar, tapi malas nak layan dan yelah akibat penat sangat drive jauh jadi dia senang tidur. Cuma dia kata bunyi guli dan flush tu dia tak dengar, mungkin sebab dah betul-betul lena tidur kan.

Suami aku kata benda tu cuma nak bagitau ‘dia’ ada je. Gurauan manja je dari ‘si dia’ sebagai salam perkenalan. Sebab kawasan tu dulu mungkin hutan ke apa ke. Kita pun tak tau kan.

Pengalaman kali pertama berdepan sendiri dengan bunyi-bunyi ni memang aku tak jangka langsung. Selalu baca kat FB je cerita-cerita lebih kurang macam apa yang aku lalui. Takdelah sampai jadi taksub dengan perkara-perkara mistik ni. Cuma tau la benda ni memang wujud kan.

Sebelum-sebelum ni kalau kami bercuti memang tak pernah lagi kejadian macam ni menimpa. Apapun aku syukur tak ada apa-apa yang serius atau terlalu menakutkan yang berlaku.

Paling-paling tak balik tu suami aku pulak mimpi yang pelik-pelik penangan tidur kat homestay tu. Dia siap kata dia dah risau ingat benda tu ikut balik ke apa. Mujur itu semua hanya khayalan dia semata-mata.

Pengajaran yang aku dapat kat sini ialah kat mana pun kita berada, kita kena sentiasa jaga adab, amalkan sebelum tidur baca surah 3 Qul, ayatul kursi dan doa tidur jangan dilupa. Sebagai pelindung diri in Shaa Allah dengan bantuan Allah. Kita tak tau apa yang ada kat tempat baru dan kita ni memang berkongsi ruang dengan dorang.

Tapi kan, persoalan aku sampai sekarang adakah anak aku yang ketiga tu nampak benda tu? Sebab dia keluar bilik cakap ada hantu, tapi dia tak nampak takut dan tak ada cerita apa-apa pulak lepas tu. Harap dia cuma bergurau jela kan. Sekian cerita dari aku. Maaf kalau terlalu meleret atau berterabur cerita. Pertama kali nak cerita, tak pandai mengarang sangat. Terima kasih pada kawan-kawan yang sudi baca.

Sumber: Puan Siti Nazurah Abd Moin via Kelab Cerita Hantu Malaysia

Amira

Love yourself.