Siakap Keli

Tak Percaya Si Mati Maut Akibat Covid-19, Puluhan Penduduk Sekat Ambulans Gunting Kain Kafan Si Mati

Puluhan penduduk di sebuah desa di Jatirogo, Jawa Timur bertindak menahan sebuah ambulan dan mengambil secara paksa jenazah seorang pesakit Covid-19 untuk dikuburkan sendiri tanpa mengikut protokol pengebumian oleh petugas kesihatan.

Di dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini di Desa Karangtengah, penduduk dikatakan tidak percaya bahawa jenazah yang juga seorang tokoh masyarakat di kawasan tersebut telah disolatkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Ketika kejadian, petugas kesihatan yang mengiringi jenazah di dalam ambulan telah menunjukkan kepada penduduk video rakaman solat jenazah yang telah dilakukan ke atas arwah oleh petugas.

Selain itu, petugas kesihatan turut menunjukkan hasil ujian swab sebagai bukti bahawa arwah telah dijangkiti wabak Covid-19.

Penduduk yang berdegil tetap berkeras membuka pintu van dan menggunakan tuil besi untuk mencungkil peti keranda serta menggunting kain kafan yang membalut tubuh jenazah.

Ketua Polis Tuban, AKBP Ruruh Wicaksono mendedahkan bahawa tiga pelaku utama yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan jenazah dikenali sebagai NU (38), AA (32) dan N (53).

”Aksi yang dilakukan oleh pelaku bermula dengan rasa tidak percaya bahawa mayat pesakit Covid-19 telah disolatkan.

”Kemudian, mereka memprovokasi penduduk tempatan untuk menghalang ambulan dan mengambil jenazah secara paksa ketika tiba di kawasan pengebumian seterusnya disolatkan dan dikuburkan,” katanya.

Beliau meminta supaya masyarakat tidak lagi melakukan pengambilan paksa jenazah Covid-19 kerana membahayakan keselamatan mereka.

Pelaku didakwa kerana melanggar Undang-Undang Nombor 6 tahun 2018 tentang karantina kesihatan dan boleh dihukum penjara satu tahun.

Sumber: Tribun News

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.