Siakap Keli
Gambar : Google

Bersalin Di Rumah? KKM Kongsi Tips Siapa Yang Layak Dan Cara Melahirkan Dengan Selamat

Saat yang paling mencemaskan oleh para ibu yang mengandung adalah ketika melahirkan. Dilema dalam memilih kaedah dan tempat bersalin.  Walaupun tiada sebarang peraturan yang menyatakan setiap wanita perlu bersalin di hospital, namun Kementerian Kesihatan lebih menggalakkan para ibu supaya bersalin di hospital atau mana-mana pusat perubatan.

Kelahiran anak atau bersalin adalah satu proses yang berlaku pada akhir kehamilan, iaitu apabila selaput mentuban, janin dan uri keluar dari rahim ibu. Ia bermula dengan kontraksi yang berterusan pada rahim menghasilkan pembukaan os serviks (pangkal rahim).

Berikut merupakan sedikit info tentang bersalin di rumah secara selamat menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi para ibu yang akan melahirkan anak, mereka akan melalui proses bersalin melalui 3 fasa iaitu :

Fasa pertama :

Berlaku pengecutan rahim yang berterusan setiap 10-30 minit. Kadar pengecutan ini akan meningkat perlahan-lahan serta menghasilkan pembukaan pangkal rahim hingga mencapai 10cm. Show (lapisan mukus bercampur darah) akan terkeluar dan diikuti dengan pecah selaput mentuban.

Fasa kedua :

Berlaku pengecutan otot rahim yang kuat dan berterusan menyebabkan bayi atau janin dikeluarkan dari rahim melalui vaginaa / faraj. Setelah bayi dilahirkan, tali pusat bayi yang menghubungkan bayi kepada uri yang masih melekat pada ibu akan dikepit dan kemudian dipotong.

Fasa ketiga :

Pada masa ini berlaku proses pemisahan uri dari rahim ibu dan ia berlaku diantara 15 hingga 30 minit selepas bayi dilahirkan.

Siapa yang layak bersalin di rumah?

Bagi mereka yang berkeinginan untuk bersalin di rumah, pastikan anda membuat pemeriksaan di pusat kesihatan berkaitan dengan kehamilan. Selain itu, anda juga perlu berbincang dengan anggota kesihatan untuk tempahan bersalin di rumah.

Berikut merupakan kriteria para ibu yang layak bersalin di rumah :

  • Ibu yang mengandung kali ke 2 hingga ke 5
  • Ukuran tinggi ibu 145 cm ke atas
  • Umur ibu lebih daripada 18 tahun dan kurang 40 tahun
  • Ibu berkahwin dan mempunyai sokongan keluarga
  • Jangka masa kandungan lebih dari 37 minggu atau kurang dari 41 minggu
  • Anggaran berat bayi 2.5 kg hingga 3.5 kg
  • Tidak mempunyai masalah obstetrik lalu yang mungkin berulang dan memberi kesan pada kandungan sekarang seperti sejarah kelahiran secara pembedahan, lekat uri, pendarahan selepas bersalin dan lain-lain.
  • Tidak mempunyai masalah obstetrik sekarang seperti kedudukan uri di bawah atau menutupi pintu rahim (placenta praevia), kandungan kembar, kedudukan janin di dalam rahim tidak normal (seperti menyongsang/ melintang/ menyerong) dan lain-lain.
  • Tidak mempunyai masalah perubatan yang lalu dan sekarang seperti diabetes, hipertensi (darah tinggi), penyakit jantung, penyakit tiroid, psikiatri, obesiti, anemia dan lain-lain.
  • Keadaan dan suasana rumah yang sesuai untuk bersalin di rumah.

Bagi mereka yang ingin bersalin di rumah, pastikan bayi anda disambut oleh anggota kesihatan terlatih yang mempunyai pengkhususan di dalam bidang kebidanan dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti Jururawat Masyarakat dan Jururawat Terlatih.

Bilakah waktu yang sesuai untuk membuat tempahan bersalin bersama anggota kesihatan?

Perbincang bersama anggota kesihatan amat penting supaya mereka boleh bersiap sedia dengan lebih awal untuk menyambut kelahiran bayi anda. Anda boleh pastikan perbincangan dilakukan semasa trimester pertama kehamilan manakala penentuan tempat bersalin sesuai dilakukan pada 36 minggu kandungan.

Selain itu, para ibu yang akan melahirkan juga perlu berbincang dengan anggota kesihatan, suami dan keluarga. Perbincangan akan meliputi aspek-aspek risiko bersalin di rumah.

Adakah bersalin di rumah mempunyai sebarang risiko jika tidak dibantu oleh anggota kesihatan terlatih?

Seperti yang diketahui, anggota kesihatan mempunyai kemahiran dan peralatan perubatan yang lengkap untuk mengendalikan kelahiran serta memberi bantuan  kecemasan. Oleh itu, jika anda bersalin di rumah tanpa bantuan mereka, kemungkinan risiko yang bahaya akan berlaku kepada anda dan juga bayi yang akan dilahirkan.

(1) Risiko dan komplikasi kepada ibu :

  •  Berlaku peningkatan dan penurunan tekanan darah semasa proses kelahiran yang boleh mengakibatkan kematian sekiranya tiada rawatan.
  • Mengalami sakit bersalin berpanjangan yang mungkin menjurus kepada keperluan untuk bersalin dengan bantuan peralatan atau pembedahan.
  • Melalui kelahiran yang sukar (obstructed labour) dan boleh mengakibatkan uterine rupture (kepecahan rahim) seterusnya menyebabkan pendarahan dan kematian.
  • Mengalami lekat uri dan cebisan selaput mentuban yang mengakibatkan pendarahan yang banyak dan menjurus kepada kematian sekiranya tidak dirawat.
  • Mengalami koyak yang teruk di vagina dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan pendarahan dan jangkitan kuman.
  • Boleh mendapat jangkitan kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dibasmi kuman.

(2) Risiko dan komplikasi kepada bayi :

  • Bayi mungkin akan lemas disebabkan kedudukan bayi yang tidak normal seperti menyongsang, menyerong atau melintang. Ini mengakibatkan kelahiran tersekat, tali pusat terkeluar dahulu dan bayi lemas kerana tiada pemeriksaan dijalankan terhadap bayi dalam kandungan.
  • Kemasukan air mentuban yang dicemari oleh najis bayi dalam kandungan (meconium) ke dalam saluran pernafasan bayi yang mengakibatkan pernafasan tersekat dan jangkitan paru-paru.
  • Dijangkiti kuman jika menggunakan peralatan yang tidak dinyahkuman ketika memotong tali pusat.
  • Mengalami suhu badan terlalu rendah (hypothermia) yang mengakibatkan kekurangan penyerapan oksigen dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera.
  • Kecacatan kongenital dan masalah perubatan pada bayi tidak dikesan dan diberi rawatan awal kerana tiada pemeriksaan dijalankan ke atas bayi.

Kesimpulan

Buat para ibu yang bakal melahirkan anak, pastikan anda membuat pemeriksaan kesihatan terhadap kandungan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk bersalin di rumah. Bersalin di rumah atau di hospital tiada perbezaan yang ketara, cuma anda perlu fikirkan kesan dan risiko yang akan berlaku kepada ibu dan juga bayi.

Sumber : MyHealth (KKM)

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.