Kita sering baca pelbagai tips atau panduan sekiranya mahu menghadiri proses temuduga kerja.
Mungkin tips yang kita baca itu agak klise dan kebanyakannya hampir sama; bawa resume, jaga gaya percakapan, penampilan dan sebagainya.
Namun bagi temuduga jawatan penjawat awam (kerajaan) di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), ianya bukan sekadar itu.
Umum mengetahui, memohon kerjaya di SPA bukan sesuatu yang mudah. Kita perlu menjalani beberapa proses permohonan, peperiksaan dan temuduga yang ‘bukan biasa-biasa’ gayanya.
Nak tahu apa tips untuk lulus dalam peperiksaan dan temuduga SPA? Jom ikuti perkongsian oleh saudara Amirul Aliff di bawah ini.
Tips lulus peperiksaan & temuduga kerajaan (SPA)

Ramai kawan-kawan FB saya bertanyakan tips dan panduan ringkas untuk melepasi tapisan penjawatan di SPA. Namun saya ingatkan situasi dan perkongsian ini adalah berdasarkan permohonan saya kepada Penjawatan S41 Pegawai Penerangan Kementerian Komunikasi Multimedia.
Mana yang baik anda boleh ambil, tapi saya ingatkan ia tidak boleh disamaratakan dengan setiap penjawatan anda mohon pada sistem SPA9.
1. SPA9 – Anda perlu melengkapkan segala maklumat dengan betul (terutama bahagian e-mail & nombor kad pengenalan) dan mengemukakan data-data yang sahih dan benar.
Sekiranya sistem memerlukan anda memuatnaik sebarang dokumen atau sijil, ia perlu salinan asal sekiranya terdapat syarat [sijil perlu disahkan] pastikan anda berbuat sedemikian terlebih dahulu. Gunakan aplikasi pintar (scan document) untuk pastikan kualiti bahan yang anda muat naik adalah baik dan jelas.
*nota: dapatkan sijil SPM anda, bukan slip keputusan SPM untuk urusan rasmi SPA.
2. Pemilihan Jawatan – Jika anda pemegang ijazah sarjana muda saya sarankan untuk mohon Gred 41. Jika pemohon di bawah gred sijil akademik yang anda ada biasanya susah untuk lepas tapisan awal SPA. Selain itu pilih jawatan yang berkaitan dengan kelayakan akedemik kerana ini boleh membantu anda mendapatkan tangga gaji yang lebih baik.
3. Peperiksaan SPA – Seperti peperiksaan yang biasa, kita perlu membuat persiapan mental dengan sedikit latihan terutama mengasah bakat matametik yang tidak pernah tajam itu. Namun jika punya kelemahan dalam sub ujian tertentu saya sarankan untuk minta bantuan kawan-kawan untuk jawab bersama.
*nota: jangan terlalu bergantung pada orang lain, masa adalah musuh nombor satu anda sewaktu peperiksaan ini berjalan.
4. Senarai Semak Temuduga SPA – Pihak SPA akan memuat naik satu link ‘Senarai Semak Temuduga‘. Mereka akan minta untuk muat naik dokumen dalam pautan tersebut. Biasanya saya juga akan buat satu salinan ‘hard copy‘ sebagai senarai semak dan buat sedikit nota sekiranya bahan yang dimuat naik belum mencukupi.
Senarai semak temuduga ini adalah PENTING, saya pernah dihubungi oleh pihak SPA kerana salah meletakkan dokumen yang dimuat naik dan pihak mereka boleh batalkan tapisan kita sekiranya terdapat maklumat yang tidak tepat / mengelirukan.

5. RESUME – Sediakan satu resume yang lengkap dalam format yang cantik dan kemas. Ini adalah senjata kita yang terakhir yang boleh dibawa bersama sewaktu tempoh hari temuduga. Sijil yang tinggi membukit buat tapisan dan ‘hightlight‘ sijil yang berkaitan dengan penjawatan.
*nota: saya aktif dengan Pidato Kenegaraan Jabatan Penerangan, jadi ini saya letakkan dalam resume dan simpanan bukti sijil sekiranya panel ingin melihat.
6. Adab & Adat Bercakap – Ambil sedikit keberanian untuk bertanya kepada pegawai yang bertugas untuk memberitahu pangkat & panggilan nama panel pemilihan. Biasanya penemuduga ada dua orang, satu daripada SPA & seorang lagi pengarah/bekas pengarah kementerian yang anda pohon. Sewaktu saya ditemuduga saya berikan sedikit salutasi ringkas kepada panel, sewaktu itu saya mendapat Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)
Contoh:
Assalamualaikum wbt dan salam Malaysiaku Prihatin saya ucapkan kepada Tan Sri Dato’ Haji Othman B Mustafa, (jawatan)
Seterusnya buat Dato’ Mantan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Dato’… (nama)
*nota: semasa sebelum temuduga, jangan habiskan masa dengan nervous dan berdoa sahaja, ambil masa untuk tingkatkan kelebihan anda berbanding calon lain.
7. Seni Pengucapan – Apabila anda temuduga Gred 41 anda harus mempunyai sedikit pengetahuan akan kementerian yang anda mohon. Ambil sedikit masa untuk kaji program dan sumbangan kementerian dalam mendepani isu semasa. Bersedia untuk diberikan tugasan pengucapan awam mengenai isu semasa. Anda mesti yakin dan ada kebolehan untuk menyelesaikan masalah.
Contoh soalan yang saya dapat sewaktu temuduga:
‘Berikan saya perancangan kamu sebelum, semasa & selepas program. Sebagai seorang ketua untuk program ‘Fahami & Ketahui Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh PM Malaysia’
‘Sebagai seorang ketua apa yang anda perlu lakukan sekiranya anak buah anda tidak mahu menuruti arahan daripada anda?’
‘Bagaimana anda hendak memberi arahan kepada seseorang yang lebih tua daripada umur anda?’
*nota: tenang dan jangan gelabah, senyum je diorang sengaja nak tahu kita bersedia atau tidak. Jangan poyo dan acah juga ya.
8. Jangan Buat-buat Pandai – Contohnya panel ada tanya saya, “Tuan ada follow FB Jabatan Penerangan?”, saya jawab, “Ya”. “Tuan ada follow Youtube jabatan?”, saya jawab, “Ya”. Kemudian dia terus tanya, “Baiklah apa peraduan terakhir yang jabatan buat dalam bulan ini?”
Terciduq kalau korang sembang kencang tadi, jadi bersikap jujurlah. Tapi nasib saya baik sebab memang dah buat kajian sedikit laman-laman rasmi mereka sebab bersedia dengan soalan cepumas seperti ini.
*(Call orang yang dah lulus temuduga untuk dapatkan tips)
9. Keberkatan – Bunyi macam biasa, tapi kesannya luar biasa, percayalah. Ambil semangat dan restu daripada ibu ayah dan sahabat kita yang boleh dipercayai. Ia membantu anda berlapang dada dan hati. Motivasi & kata-kata positif perlu senantiasa anda fikirkan sebab itu yang buat saya yakin dengan apa yang saya lalu sewaktu temuduga.
Semoga memberi manfaat & membantu anda semua, mohon maaf sekiranya ada kekurangan di mana-mana.
𝗧𝗜𝗣𝗦 𝗟𝗨𝗟𝗨𝗦 𝗣𝗘𝗣𝗘𝗥𝗜𝗞𝗦𝗔𝗔𝗡 & 𝗧𝗘𝗠𝗨𝗗𝗨𝗚𝗔 𝗞𝗘𝗥𝗔𝗝𝗔𝗔𝗡 (𝗦𝗣𝗔)Ramai kawan-kawan fb saya bertanyakan tips dan panduan ringkas untuk…
Posted by Amirul Aliif on Wednesday, January 27, 2021
Sumber: Amirul Aliff