Siakap Keli

Golongan Dewasa 18 Tahun Ke Atas Akan Menerima Vaksin Covid-19 Fasa Ketiga Bermula Mei 2021

Golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas akan menerima vaksin Covid-19 bagi fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula Mei ini sehingga Februari tahun hadapan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fasa ketiga merupakan fasa penting untuk membentuk perlindugan kelompok sekaligus mengekang penularan wabak ini.

”Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.

”Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” kata beliau menerusi siaran langsung Perutusan Khas sebentar tadi.

Jelas Muhyiddin, sebelum itu fasa pertama pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula hujung bulan ini di mana melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

”Fasa ini amat penting untuk melindungi frontliners kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19. Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April,” katanya.

Manakala, fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 terdiri daripada warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Selain itu, golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini di mana anggaran jumlah keseluruhan penerima vaksin adalah sebanyak 9.4 juta orang yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

Difahamkan, kerajaan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia di bawah program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang melibatkan tiga fasa.

Sumber: Siaran Langsung Perutusan Khas Perdana Menteri

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.