Bagi orang dewasa, mungkin perkara ini sudah tidak menjadi persoalan kerana ia telah digunakan sejak sekian lama. Pun begitu, bagi kanak-kanak atau individu yang baru mempelajari bahasa Inggeris, sebab angka sebelas dipanggil eleven dan bukan one-teen seperti angka belas yang lain sedikit sebanyak mungkin boleh menimbulkan tanda tanya.
Menurut Mental Floss, kebiasaannya, kita akan menyebut nilai tempat ‘puluh’ dahulu dan diikuti nilai ‘sa’. Sebagai contoh, kita menyebut 21 sebagai twenty-one, 22 sebagai twenty-two hingga ke 29 sebagai twenty-nine dan begitulah seterusnya.
Bagaimanapun, sebutan nilai tempat bagi angka belasan adalah berbeza. Tambah portal itu, sebutan ‘teen’ yang datang daripada ‘ten’ atau puluh disebut di belakang manakala nilai ‘sa’ diletakkan di hadapan. Misalnya, angka 16 disebut six-teen, 17 sebagai seven-teen dan seterusnya.
Namun, kenapa 11 dan 12 tak disebut one-teen atau two-teen?
Berdasarkan portal itu, perkataan eleven dan twelve berasal daripada terma bahasa Inggeris lama, endleofan dan twelf yang dapat ditelusuri ke waktu ketika ia dipanggil ain+lif dan twa-lif.
Ahli etimologi percaya, lif bersusur galur daripada perkataan to leave yang bermaksud ‘tinggal’. Ainlif bermaksud one left/tinggal satu (selepas sepuluh) manakala twalif bermaksud two left/tinggal dua’ (selepas sepuluh). Justeru, angka sebelas disebut satu selepas sepuluh (ainlif) manakala dua belas disebut dua selepas sepuluh (twalif).
Kenapa tak disebut threelif, fourlif dan seterusnya?
Tambah Mental Floss, dahulu kala, ketika terma untuk angka diwujudkan, kebanyakan orang tidak mempunyai sebab untuk membezakan nombor selepas angka sepuluh. Malah, sebahagian bahasa di dalam budaya primitif dikatakan hanya mempunyai terma untuk nombor ‘satu’, ‘dua’ dan ‘banyak’. Justeru, angka asas dibentuk sehingga sepuluh terlebih dahulu, sebelum dikembangkan dengan kewujudan –lif pada penghujung angka.
“Kemungkinan ada sistem threelif, fourlif, tetapi 11 dan 12 lebih kerap diguna dalam kehidupan seharian. Banyak sistem nombor adalah berdasarkan angka 12 kerana ia boleh dibahagikan dengan banyak nombor.” -Mental Floss
Sumber: Mental Floss