Tiada siapa yang dapat menyangka bahawa sekecil-kecil virus boleh memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat di seluruh dunia.
Tidak terkecuali di negara ini, ramai yang sedang ‘bergelut’ untuk meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan.
Demi mencari rezeki yang halal, ada yang berniaga dalam keadaan panas terik dan tanpa mengenal erti penat lelah.
Melihat perkara ini, Imam Muda Asyraf meluahkan kesedihannya di laman Instagram, dia berharap agar orang ramai boleh membantu peniaga-peniaga kecilan yang cekal mencari rezeki.
Ikuti perkongsiannya di bawah ini.
Ada yang papan tanda pun pakai kotak saja. Tulisan iklan pula sebesar tapak tangan. Ada yang buat makan tak menjadi. Tapi terpaksa juga jual. Walau seorang pun tak kunjung.
Ada yang memang tak pandai berniaga langsung. Nampak sangat kekok. Mereka dah bertahun kerja makan gaji, tiba-tiba terpaksa berniaga. Bukan mudah sebenarnya.
Bukan semua orang lahir-lahir terus pandai meniaga. Tak semua manusia skil kehidupan sama. Ada yang tak sempat belajar ilmu bisnes. Sebab kena buang kerja hari ini. Takkan esok dah bijak.
NAK SALAHKAN MEREKA?
TAK BOLEH… Harini ramai orang survive.
Ramai struggle. Anak di rumah kelaparan. Isteri menunggu kepulangan. Ibu ayah di kampung menanti kiriman. Apa sahaja punca rezeki yang halal, mereka sedaya upaya dapatkan.
Ada yang dah ada bisnes. Tapi tak dibenarkan beroperasi. Mereka tak mengemis duit menteri. Mereka hanya merayu simpati supaya keizinan beroperasi. Mereka tak tahu nak pusing modal macamana lagi.
Mereka tak meminta-minta. Mereka ada maruah. Mereka usaha sendiri. Mereka tahu, poket mereka tak siapa peduli. Nak luah. Ramai yang susah. Media sosial pun tak sempat. Mereka hanya tahu kerah keringat.
Saya usaha beli apa saja yang mereka jual. Beli di setiap gerai. Di rumah tiada siapa yang makan. Tapi beli dan agih sedekah merata tempat. Saya tak sampai hati kalau ada peniaga yang panggil saya. Saya tahu. Bila saja kita melalui gerai mereka, wajah mereka penuh harapan.
Barang niaga yang tak habis. Itulah hidangan setiap hari. Lauk sama. Lauk baki niaga.
Saya merayu pada semua. Kita support mereka. Mereka tidak mengemis. Mereka berniaga. Saya tak lah pandai niaga. Tak juga sekaya mana untuk beli semua. Saya pun survive. Empat butik saya terpaksa tutup operasi. Walau sakit. Tapi insyaAllah masih mampu berdiri.
Yang lebih saya simpati bagi mereka yang tak ada langsung tongkat. Kais pagi makan pagi. Hanya menanti rebah. Semoga Allah murahkan rezeki kita semua.
Sumber: Imammudaasyraf