Siakap Keli
Gambar: JKJAV

Satu Hari Lagi, Vaksinasi COVID-19 Pertama Akan Bermula Esok

Negara kita akan melakar sejarah baharu dalam tempoh pandemik COVID-19 ini apabila sesi vaksinasi peringkat pertama dijadualkan bermula esok.

Laman Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan beberapa kemas kini mengenai proses semasa yang sedang berjalan sekarang.

Menerusi ciapan-ciapan di Twitter, terdapat beberapa laporan terkini mengenai program imunisasi ini dan salah satu isu yang diutarakan adalah dakwaan awam tentang paksaan vaksinasi ke atas golongan Orang Asli.

Sebagai fasa pembukaan bagi hari bersejarah esok, Simulasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kini berlangsung di bangunan Kementerian Kesihatan (KKM) pada pagi ini.

Turut hadir sama dalam menyertai simulasi tersebut ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, ciapan Twitter JKJAV turut menjelaskan, terdapat dakwaan awam yang mengatakan bahawa golongan Orang Asli adalah dipaksa untuk menerima vaksin tersebut.

Bagaimanapun Khairy menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah palsu dan dibangkang sama sekali.

“Diminta para aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak menakut-nakutkan golongan ini. Vaksinasi adalah secara sukarela untuk semua golongan,” tegasnya, memetik ciapan tersebut.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyenaraikan sejumlah 55,539 guru yang dilaporkan berisiko tinggi ketika pandemik ini.

Maka dengan itu jelas Khairy, kesemua mereka yang terbabit akan diusahakan untuk diimunisasi dalam fasa pertama.

Selain itu, sejumlah lebih 180,000 dos bekalan vaksin keluaran Pfizer dilaporkan akan tiba ke tanah air esok untuk diagihkan kepada negeri-negeri yang belum menerima bekalan tersebut.

Khairy memaklumkan demikian, memetik ciapan-ciapan di laman Twitter JKJAV sebentar tadi.

Maklumat lanjut menyusul.

Sumber: Laman Twitter JKJAV

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.