Siakap Keli
Gambar: YaleNews - Yale University

Jangan Ambil Mudah, Ketahui Gejala Penyakit Kencing Manis, Antaranya Ialah Kerap Lapar Dan Dahaga

Penyakit kencing manis adalah salah satu penyakit yang banyak dihidapi rakyat Malaysia.

Bagi mengelakkan diri daripada menjadi semakin parah akibat penyakit ini, perlu untuk kita mengetahui tanda-tandanya sebelum terlambat.

Portal Hello Doktor ada berkongsikan tentang tanda-tanda kencing manis ini. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penjelasannya seperti berikut:

Bagaimana ingin tahu sekiranya anda mempunyai kencing manis atau tidak? Ada kepentingan untuk anda mengetahui tanda kencing manis tinggi gula ini. Kami senaraikan beberapa tanda kencing manis peringkat awal untuk makluman anda.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.

Tanda kencing manis tinggi gula 1: Kerap membuang air kecil

Keadaan kerap membuang air kecil ini dikenali sebagai poliuria. Antara salah satu tanda kencing manis peringkat awal yang sering berlaku ialah kerap membuang air kecil.

Ini berlaku apabila buah pinggang anda tidak dapat memproses jumlah glukosa yang tinggi dalam badan.

Oleh itu, buah pinggang menyingkirkan sebahagian daripadanya melalui air kencing. 

Tanda kencing manis tinggi gula 2: Kerap berasa dahaga

Salah satu tanda kencing manis peringkat awal yang lain ialah kekerapan berasa dahaga lebih daripada biasa.

Apabila anda kerap membuang air kecil, secara automatiknya tubuh badan akan mengalami dehidrasi dan menyebabkan anda dahaga.

Selain itu, apabila gula dalam darah anda berada pada paras yang terlalu tinggi, ia juga boleh menyebabkan anda berasa dahaga dengan lebih kerap.

Anda juga kurang berasa puas walaupun setelah minum banyak air.

Tanda kencing manis tinggi gula 3: Tompok gelap pada kulit

Tanda awal lain yang menunjukkan bahawa anda mengalami kencing manis ialah kewujudan tompok gelap pada kulit anda.

Ia lebih kerap berlaku di kawasan sekitar leher, ketiak dan di celah kelangkang.

Selain itu, kulit juga akan menjadi lebih tebal daripada biasa.

Punca yang menyebabkan kewujudan tompok hitam ini adalah kerana keadaan insulin yang berlebihan dalam darah. 

Tanda kencing manis peringkat awal 4: Luka yang lambat sembuh

Jika luka anda kerap kali mengambil masa yang terlalu lama untuk sembuh, ia juga adalah tanda awal kencing manis.

Salah satu sebab mengapa luka ini lambat sembuh adalah kerana salur darah anda.

Paras gula darah yang tinggi akan menyempitkan salur darah, sekali gus memperlahankan aliran darah.

Ini akan menyebabkan kawasan luka tersebut terhalang daripada mendapat oksigen dan nutrien untuk kembali sembuh.

Selain itu, paras gula darah yang tinggi dalam tempoh yang lama juga boleh merencatkan sistem imun tubuh.

Disebabkan itu, tubuh badan anda akan mengambil masa yang lebih lama untuk melawan jangkitan pada luka tersebut.

Tanda kencing manis peringkat awal 5: Kerap berasa lapar

Sel-sel tubuh akan menggunakan glukosa sebagai ‘makanan’ atau sumber tenaga untuk mereka kekal berfungsi dengan baik.

Namun, apabila sistem ini telah musnah disebabkan kesan kencing manis, maka sel tubuh tidak lagi dapat menyerap glukosa daripada darah.

Kesannya, tubuh badan anda akan mencari sumber tenaga lain yang kemudiannya menyebabkan anda berasa lapar.

Oleh sebab itu, jika anda kerap berasa lapar melebihi keadaan biasa, ia mungkin tanda kencing manis tinggi gula. 

Tanda kencing manis peringkat awal 6: Gangguan pada penglihatan

Tanda lain yang mungkin menandakan bahawa anda mempunyai kencing manis ialah gangguan penglihatan.

Penglihatan anda mungkin akan kabur disebabkan kencing manis.

Apabila gula darah terlalu tinggi, ia juga boleh merosakkan salur-salur darah kecil yang terdapat pada mata anda.

Akibatnya, cecair pada mata akan meresap masuk ke dalam lensa atau kanta mata dan menyebabkan penglihatan menjadi kabur. 

Tanda kencing manis peringkat awal 7: Alami sakit saraf

Apabila anda mengalami diabetes dalam tempoh yang agak lama, ia juga boleh menjejaskan atau merosakkan saraf anda.

Keadaan ini dikenali sebagai neuropati diabetes.

Apabila saraf anda mengalami kerosakan akibat diabetes, tubuh badan anda mungkin akan kerap berasa kebas atau kesemutan.

Antara kawasan yang sering berasa kebas adalah seperti di kawasan tangan, jari dan juga kaki. 

Kesimpulan

Jika anda ada mengalami salah satu daripada simptom di atas ini, segeralah berjumpa dengan doktor untuk melakukan ujian diabetes.

Ini untuk memastikan keadaan diabetes anda dapat dikesan lebih awal dan seterusnya mengelakkan komplikasi lain. 

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

I write what is right