Siakap Keli
Gambar Via Bernama

PBT Diberi Kuasa Keluarkan Kompaun Mulai 11 Mac Ini

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan-badan berkanun akan diberikan kuasa untuk mengeluarkan kompaun kepada orang ramai mulai 11 Mac 2021 ini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia telah termasuk dalam pindaan ke atas Akta 342 mengikut Seksyen 2 (1) iaitu tafsiran pegawai diberi kuasa.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meminda tafsiran ‘pegawai diberi kuasa’ dengan memasukkan mana-mana Pegawai Kesihatan Persekitaran, dilakukan untuk disesuaikan dengan skim perkhidmatan sedia ada.

“Tafsiran yang dicadangkan ini juga diperluaskan kepada mereka yang tidak berkhidmat dalam perkhidmatan awam persekutuan sepertu Badan Berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan memasukkan ‘mana-mana orang yang sesuai’,” kata kenyataan itu.

Ia dilakukan untuk menguatkuasakan pematuhan SOP bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, seterusnya membendung penularan COVID-19 dalam tempoh darurat.

Sumber: Majlis Keselamatan Negara, KKM

Sofea

There's always another side to every story