Siakap Keli

Thailand Rancang Bina ‘Jambatan Darat’ Ganti Idea Bina Terusan Segenting Kra, Dipercayai Laluan Perdagangan Baru Ganti Selat Melaka

Thailand melakar sejarah baharu dalam sistem pengangkutan negara apabila negara itu bersetuju memulakan projek ‘Louis Land Bridge’ bagi menggantikan cadangan projek terdahulu, Terusan Segenting Kra.

Memetik sumber, projek jambatan darat itu bakal mengintegrasikan model pengangkutan dengan menghubungkan dua pelabuhan, iaitu Pelabuhan Ranong di laut Andaman (barat) dengan  Pelabuhan Chumphon di Teluk Thailand (timur).

Ia dijalankan sebagai laluan baharu bagi mana-mana kapal kargo yang merentas laluan laut dari barat ke timur Asia dengan melalui Selat Melaka dan perairan Singapura seperti sebelum ini.

Gambar: ASEAN World 24

Menteri Pengangkutan, Sak Siam Chidchob secara rasminya dilaporkan telah menandatangani perjanjian projek berkenaan dalam satu perasmian pada kelmarin.

Difahamkan, persetujuan perjanjian bagi projek itu turut merangkumi pelbagai aspek seperti kajian kelayakan reka bentuk infrastruktur, penilaian impak alam sekitar serta analisis model pembangunan dan pelaburan bagi membangunkan Koridor Ekonomi Selatan yang menghubungkan wilayah Teluk Thailand dengan Laut Andaman.

Projek yang menjadikan Thailand sebagai hub bagi negara-negara ASEAN itu dilaporkan menelan kos kira-kira sehingga RM133 juta,  termasuk pelaburan-pelaburan swasta.

Gambar: ASEAN World 24

Kelebihan utama projek berkenaan adalah ia didakwa mampu memendekkan tempoh perjalanan seawal dua hari, berbanding perjalanan laluan laut di Selat Melaka dan Singapura sebelum ini yang jauh lebih lama.

Selain itu, projek itu juga dilaporkan dirancang untuk dijadikan sebagai model pelabuhan moden dan pintar, selain sistem yang ditambah baik termasuk pembangunan lebuh raya khas antara bandar dan kereta api berkembar.

Projek pembinaan lebuhraya darat itu dijadualkan akan bermula pada 2024 dan dijangka tamat pada 2026 kelak.

Sumber: News 1live / ASEAN World 24

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'