Siakap Keli

(Video) 40 Buah Khemah Peniaga Dan 16 Rumah Di Kepala Batas Rosak Akibat Ribut

KEPALA BATAS, 4 Mac – Sebanyak 40 buah khemah peniaga makanan jalanan di Kayangan dan 16 buah rumah penduduk di dua buah kampung di Kepala Batas, di sini rosak teruk selepas dilanda ribut dalam kejadian hujan lebat, di sini hari ini.

Walaupun kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa, namun melibatkan kerugian kepada 16 keluarga di  Kampung Paya Keladi Hujung dan Kampung Paya Keladi Tengah, kerana kerosakan pada rumah terutama bahagian bumbung, selain peralatan elektrik dan perabut.

Manakala bagi peniaga di kawasan Kayangan pula makanan yang dijual dan peralatan berniaga turut rosak, sehingga menyebabkan mereka kerugian puluhan ribu ringgit.

Seorang mangsa, Md Noor Awang, 50, berkata kejadian itu berlaku sangat pantas kerana secara tiba-tiba angin kuat sebelum beliau terdengar bunyi bising serta kuat di bahagian dapur, dan mendapati bumbung rumahnya telah diterbangkan angin dan air memenuhi ruang tersebut kerana hujan lebat.

“Saya berada di ruang tamu semasa kejadian bersama isteri dan anak, sebaik bunyi kuat kami mendapati bahagian bumbung dapur telah diterbangkan angin dan air hujan masuk menerusi ruang itu kerana sudah tiada bumbung, saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa yang berada di situ, tapi Alhamdulilah yang penting kami sekeluarga selamat,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Seorang peniaga di Kayangan, Wan Mohd Mustaqim Wan Azizan, 33, berkata kejadian ribut itu berlaku begitu pantas, iaitu tidak sampai dua minit dan peniaga hanya mampu menyelamatkan diri dan melihat peralatan perniagaan ditiup angin, kerana masing-masing bimbang keselamatan.

“Kejadian seperti ini kerap berlaku di sini, tetapi kali ini yang paling teruk kerana turut hujan lebat, jadi boleh dikatakan semua peniaga di sini berniaga makanan dan kesemua peralatan serta barangan jualan musnah,” katanya yang kerugian kira-kira RM3,000.

Sementara itu Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Ahmad Darus berkata, pasukan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas terus melawat dan memberi bantuan awal kepada semua mangsa yang terlibat dalam kejadian ribut tersebut.

Bagi peniaga di Kayangan, beliau yang mewakili Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas telah menyampaikan bantuan wang tunai segera kepada 40 peniaga di situ, yang kebanyakannya mengalami kerosakan peralatan berniaga serta makanan dijual.

“Manakala 16 buah yang terlibat dengan kerosakan akibat ribut antaranya bumbung terbang dan bahagian rumah ditimpa pokok, akan dibaiki oleh Pusat Khidmat Parlimen Kepala Batas dengan segera, kami telah membuat penilaian. Skuad khas kami juga telah memotong pokok yang menimpa rumah serta membantu mengalihkan bumbung yang jatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang