Siakap Keli

Hukum Ayah Pengantin Lelaki Mewakili Anaknya Ketika Akad Nikah, Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya ada beberapa isu yang melibatkan orang lain yang terpaksa menyebut ijab qabul untuk orang lain.

Dalam situasi ini, pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah menjelaskan perkara ini bagi mengelak sebarang kekeliruan dan ketidakfahaman bagi bakal pengantin dan keluarga mereka.

Jadi, ikuti penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan tentang hukum ayah pengantin lelaki mewakili anaknya ketika ijab dan qabul.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah ayah pihak lelaki menjadi wakil untuk menyebut ijab qabul semasa majlis akad nikah berlangsung?

Gambar sekadar hiasan

Jawapan Ringkas

Hukum ayah mewakili anaknya untuk melangsungkan akad pernikahan adalah sah dan diharuskan. Namun, diwajibkan kepada ayah untuk menyebut di dalam akad ijab dan qabul bahawa dia terima nikah bagi mewakili pihak pengantin lelaki sahaja. Contoh ucapan, “Aku terima nikah si fulanah bagi pihak anakku”.

Huraian Jawapan

Proses perkahwinan merupakan suatu perkara yang serius dan penting untuk diteliti; bermula daripada pemilihan pasangan, majlis pernikahan sehinggalah menjengah kehidupan berumahtangga. Perkahwinan yang dianjurkan dalam Islam perlu berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan.

Pernikahan yang sah dan sempurna mestilah memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya, iaitu:

  1. Suami
  2. Isteri
  3. Wali
  4. Dua orang saksi
  5. Lafaz ijab dan qabul (sighah)

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/55)

Sighah bermaksud lafaz atau perbuatan yang disampaikan oleh orang yang sedang akad (perjanjian) untuk menunjukkan kerelaannya. Para fuqaha berpendapat perkara yang terkandung di dalam sighah mestilah Ijab (lafaz penawaran) dan Qabul (lafaz penerimaan).

(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/200)

Akad nikah tidak sah melainkan dengan Sighah akad nikah iaitu ijab dan qabul. Secara asalnya, Sighah hanya melibatkan dua pihak sahaja iaitu pengantin lelaki dan wali sahaja. Huraiannya:

a) Ijab bermaksud lafaz penawaran daripada wali pengantin perempuan yang menyebut “aku kahwinkan kamu” atau “aku nikahkan kamu” dan seumpamanya.

b) Qabul bermaksud lafaz penerimaan daripada pengantin lelaki dengan menyebut “aku terima perkahwinannya” atau “aku terima nikahnya” atau “aku redha dengan menikahinya”.

(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/53)

Namun, sekiranya pihak pengantin lelaki mahupun wali asal mewakilkan orang lain untuk menjalankan tanggungjawab melafazkan ijab dan qabul, maka hukumnya tetap sah; sama ada mereka berada di dalam majlis yang sama ataupun berada di kejauhan.

(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/336)

Perkara ini bersandarkan kepada perbuatan Nabi Muhammad SAW mewakilkan orang lain untuk menerima pernikahan isteri baginda. Antaranya, Rafi’ hamba Rasulullah SAW meriwayatkan, dia berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَ مَيْمُونَةَ حَلَالًا وَبَنَى بِهَا حَلَالًا وَكُنْتُ الرَّسُولَ بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengahwini Maimumah dalam keadaan halal (bukan ketika berihram), bersetubuh dengannya dalam keadaan halal (bukan ketika berihram). Ketika itu, aku menjadi utusan (wakil) antara mereka berdua”.

Riwayat al-Tirmizi (841)

Syeikh Zainuddin al-Malibari juga menyebutkan dalam kitabnya,

تفويض شخص أمره إلى آخر فيما يقبل النيابة ليفعله في حياته فتصح في كل عقد: كبيع ونكاح إلخ..

Maksudnya“Menyerahkan suatu urusan kepada orang lain dalam perkara yang boleh untuk diwakilkan melakukannya ketika waktu hidupnya adalah sah seperti akad jual beli, nikah dan lain-lain”.

(Lihat: Fath al-Mu’in, 1/359)

Oleh yang demikian, dibolehkan untuk mewakilkan orang lain untuk menjalankan tanggungjawab ijab dan qabul tersebut; khususnya apabila pengantin lelaki berada di tempat yang jauh daripada majlis akad dan sebagainya.

Namun, perlu diingatkan bahawa wakil diwajibkan menyebut dirinya menerima akad sebagai wakil bagi pihak pengantin lelaki. Contohnya ucapan sebegini: “Aku menerima nikah si fulanah bagi pihak si fulan” atau yang seumpama dengannya melihat kepada perkahwinan merupakan isu yang kritikal dan perlu dielakkan sebarang ketidakjelasan dan salah faham.

(Rujuk: al-Mu’tamad, 3/347)

Akhir kata, semoga Allah permudahkan urusan perkahwinan kalian. Amin

Wallahu a’lam.

 

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah

"