Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kebenaran Pemain Ke-12 Kembali Ke Stadium Diketahui Esok

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi bayangan kerajaan akan memberikan kebenaran kepada penyokong kembali menyaksikan acara sukan di stadium dalam masa terdekat.

Pengumuman yang dinanti-nantikan oleh penyokong sukan tanah air terutama penyokong bola sepak, dijangka dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya, esok.

Beliau berkata pembentangan cadangan dan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) diterima dengan baik walaupun ada pihak yang bersikap konservatif.

“Saya tidak mahu mendahului, tetapi Insya Allah esok akan ada, seperti yang saya umumkan sebelum ini, sekurang-kurangnya 10 peratus kapasiti atau formula berasingan mengikut saiz stadium dan permulaannya di dua venue.

“Kemungkinan kawasan berstatus PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) akan menyaksikan jumlah yang jauh lebih tinggi. Tapi yang pentingnya saya hendak menyaksikan percubaan awal untuk merancakkan bola sepak dengan kembalinya penonton ke stadium,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pematuhan kepada SOP penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL) dan pelancaran logo Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) di Stadium Hoki Nasional di sini malam ini.

Reezal Merican berkata pada awalnya, pihak KBS menghadapi kesukaran untuk meyakinkan pihak MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi sekiranya proses percubaan di dua venue yang dipilih berjaya, ia akan menjadi panduan untuk venue-venue lain.

Beliau turut menasihati penonton agar mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengawal emosi serta tidak terlalu ghairah sekiranya diberi kebenaran untuk hadir ke stadium kelak.

Sumber: BERNAMA