Siakap Keli

Sembilan Pelajar Malaysia Antara 125 Pelajar Cemerlang Dunia Terima Biasiswa Jepun

KUALA LUMPUR, 19 Mac — Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang buat sembilan pelajar Malaysia apabila terpilih penerima Biasiswa Kerajaan Jepun Monbukagakusho:MEXT untuk tahun akademik 2021.

Mereka adalah antara 125 pelajar terbaik dari seluruh dunia yang menerima biasiswa tersebut untuk program sarjana.

Ti Jia Qian, 19, masih tidak percaya beliau terpilih kerana perlu bersaing dengan 150 pelajar Malaysia lain yang turut memohon biasiswa tersebut.

“Saya sangat teruja kerana diberi kesempatan pergi ke Jepun dan belajar tentang budaya mereka, mungkin saya dapat membantu meningkatkan hubungan antara Jepun dan Malaysia,” katanya.

Ti bercakap kepada Bernama pada program orientasi anjuran Persatuan Graduan Jepun Malaysia (JAGAM), di sini, hari ini, yang dihadiri Duta Jepun ke Malaysia Oka Hiroshi.

Penerima lain, Ching Wei Jian, 20, berkata beliau bersyukur terpilih menerima biasiswa itu kerana is peluang terbaik untuk menjelajah dunia di luar Malaysia.

“Di sebalik perbezaan budaya, kami berkongsi harapan dan impian yang sama, serta keinginan untuk menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih balk,” katanya.

Sementara itu, Oka berkata, penerima dipilih daripada ratusan pemohon sebagai menghargai prestasi akademik dan juga potensi mereka.

“Kami meletakkan harapan tinggi bahawa anda akan menjadi pemimpin, inovator, pencipta dan pendorong masa depan Asia. Kami sangat berbesar hati sekiranya biasiswa kerajaan Jepun akan menyumbang apa sahaja cara untuk masa depan anda yang cerah,”katanya.

Oka berkata biasiswa itu bermula pada 1954, dan sehingga kini, lebih 1,600 pelajar Malaysia telah belajar di Jepun di bawah biasiswa tersebut.

Biasiswa ini akan menyediakan elaun bulanan kira-kira 117,000 yen (RM4,000) untuk setiap penuntut sarjana.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'