Siakap Keli
Gambar: Gambar Hiasan via Google & FB

Boleh Ke Main Permainan Patung Kanak-Kanak? Ini Pencerahan Mufti

Kalau kita pergi ke mana-mana taman tema hiburan atau ‘funfair’, mesti akan jumpa mesin permainan untuk kanak-kanak kan?

Antara konsep permainannya adalah; kita perlu membayar dengan sejumlah wang untuk mencuba nasib dalam permainan tersebut. Kalau nasib ‘cantik’, dapatlah hadiah yang kita nak. Begitulah sebaliknya.

Tapi perasan atau tidak, konsep ini seakan-akan menyerupai aktiviti pertaruhan. Kita akan sentiasa bertaruh dengan wang untuk dapatkan benda yang kita nak, biarpun terpaksa cuba berkali-kali.

Persoalannya, adakah mesin permainan kanak-kanak ini dikira sebagai judi? Mari ikuti pencerahan oleh mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA) di bawah ini.

Fatwa tentang mesin permainan anak patung kanak-kanak

1. Mesin permainan kanak-kanak (K* **N) atau seumpama dengannya adalah termasuk dalam perjudian (al-Maisir). Ini adalah kerana terdapat pertaruhan yang melibatkan wang yang mana jika berjaya akan memperolehi barang di dalam mesin tersebut dan jika gagal akan kerugian wang tersebut. Ini adalah satu bentuk pertaruhan yang dilarang oleh syara’ iaitu satu pihak akan mendapat keuntungan dan satu pihak akan kerugian.

2. Ia juga dilihat mempunyai unsur penipuan dan memperdayakan kanak-kanak untuk tujuan keuntungan.

3. Umat Islam di negeri Perlis hendaklah menjauhi daripada terlibat dengan permainan pertaruhan di mesin seumpama itu kerana ia termasuk di dalam dosa besar.

4. Seorang muslim juga tidak boleh membantu menguruskan mesin perjudian seperti itu kerana ia termasuk memakan harta secara batil.

-TAMAT-

(Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 2/2021 pada 22 Mac 2021.)

Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis:

  1. YBhg. S.S Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin – Mufti Negeri Perlis
  2. Sahibul Fadhilah Prof Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi bin Haji Othman
  3. Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari Bin Mat
  4. Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
  5. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
  6. Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
  7. Sahibul Fadhilah Prof. Madya Dr. Azman Bin Mohd Noor
  8. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
  9. Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin Jamilin @ Ahmad Kamil Jamilin
  10. Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
  11. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
  12. Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin

Sumber: Dr. MAZA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'