Orang Malaysia ni sangat terkenal dengan sifat memiliki hati budi yang baik. Betul, kita sebagai manusia memang takkan sempurna. Jauh lagi dapat lari daripada buat kesilapan.
Tapi kalau hati seseorang itu memang bersih, datanglah apa pun masalah, InsyaAllah semuanya dapat ‘dibereskan’ dengan baik. Orang kata, memang fitrah manusia itu dicipta menjadi baik.
Bercakap pasal baik, semalam tular tentang isu seorang abang ‘posmen’ yang dikatakan telah menjumpai sebuah beg dompet milik seseorang yang tercicir. Dikatakan dompet itu dijumpai semasa dia sedang bertugas pada waktu itu.
Posmen tersebut, Putera Shazlan telah memuat naik ‘penemuan’ itu ke laman Facebooknya. Demi amanah untuk nak pulangkan semula dompet itu kepada tuannya, Shazlan sanggup ‘tag’ ramai kawan-kawannya supaya mereka cakna.
Difahamkan, Shazlan menemui dompet itu dipercayai ketika berada di sekitar Juru, Pulau Pinang semasa menjalankan tugasnya sebagai posmen. Maka dengan itu, dia turut menyatakan sekali nombor telefonnya untuk dihubungi.
Malah abang posmen jujur ini juga tekad menyeru netizen supaya viralkan lagi hebahannya itu agar sampai ke pengetahuan si tuan dompet itu. Bersih sungguh hatinya.
Di bawah ini adalah gambar dompet itu beserta beberapa dokumen pengenalan diri serta sejumlah wang tunai. Kalau diperhatikan, agak banyak juga wang tunai kepunyaan pemilik dompet ini. Mujurlah ia ditemui oleh seorang lelaki yang telus beramanah dan suci hatinya..biarpun hanya seorang penghantar surat!


Difahamkan, hebahannya itu tular ‘lebat’ di media sosial. Mungkin ramai netizen menyanjungi tindakan abang posmen ini yang sanggup mencari semula pemilik dompet.
Tular punya tular punya tular, akhirnya hebahan itu sampai juga ke pengetahuan tuannya. Tidak pasti bagaimana ia berlaku, namun berdasarkan hantaran terkini di laman Facebook Penang Kini pada semalam, Shazlan akhirnya dapat juga bertentang mata dengan tuan dompet itu.
Penang Kini menyatakan, rupa-rupanya Shazlan merupakan pekerja Pos Laju di Pos Malaysia cawangan Simpang Ampat di Seberang Perai Selatan.
“Seorang yang sangat jujur dan amanah, tak gelap mata terjumpa dompet yang mengandungi sejumlah wang yang banyak juga. Gaji seorang posmen bukan alasan untuk saudara Shazlan ambil hak orang nampaknya. Syukur wallet tu dapat diserahkan kembali kepada tuan yang empunya.
“Terima kasih Shazlan yang baik hati. Diharapkan menjadi contoh kepada orang lain agar kita sentiasa jujur tak kira di mana. Moga Pos Malaysia dapat beri pengiktirafan yang sewajarnya,” maklum hantaran tersebut, malam tadi.

Dalam hantaran tersebut, Penang Kini juga berkongsi foto Shazlan menyerahkan kembali beg dompet itu kepada tuannya. Alhamdulillah. Ramai juga netizen khususnya warga Pulau Pinang sendiri yang terharu dengan kebaikan yang dibuatnya.
Maka menderu-derulah para netizen meninggalkan kata-kata pujian kepada Shazlan. Rata-ratanya begitu memuji dan ‘respect’ kepada jasa abang posmen ini. Cuma mungkin ramai yang tertanya-tanya, siapakah pemilik dompet itu ye? Dia ada komen sekali tak dalam hantaran tu?
Jawabnya, ya. Rupa-rupanya pemilik dompet tersebut juga perasan akan hebahan tular yang dibuat Shazlan sebelum itu. Maka selepas dia bertemu Shazlan dan Penang Kini memuat naik foto tersebut, maka akhirnya dia pun muncul ‘bersuara’ di tengah-tengah kerancakan komentar-komentar.
Alhamdulillah, pengguna Facebook yang menggunakan nama Mohd Zulhairi Sabarudin rupa-rupanya adalah individu empunya kepada beg dompet berkenaan. Dia juga menzahirkan rasa terharunya kepada Shazlan atas usahanya. Syukur Alhamdulillah.
Dalam pada itu, mari kita menjengah ke komentar-komentar yang ditinggalkan oleh netizen lain. Mesti anda rasa tersentuh dengan penghargaan yang diberikan mereka.
Kalau dilihat pada komentar di bawah ini, ada seorang pengguna akaun bernama Praven Suppayah Shashank yang merupakan bangsa India juga berasa terharu dengan sifat amanah Shazlan. Lihatlah..betapa harmoninya Malaysia!
Ada yang berpendapat, apa yang kita beri, itulah yang kita dapat. Netizen bernama Azneel Osman ini mendoakan agar Shazlan dimurahkan rezeki yang berlipat kali ganda atas sikap amanahnya dalam bekerja.
Ada juga yang berkata, bukan mudah nak cari orang yang amanah dan tahu tentang hak orang lain. Kerana hakikatnya, apa yang kita makan (sekiranya ia daripada sumber haram dan bukan milik kita) akan menjadi darah daging nanti.
Dalam masa sama, ada juga yang menyeru pihak pengurusan tertinggi Pos Malaysia Berhad agar memberi pengiktirafan kepada Shazlan. Ianya kerana Shazlan berjaya mengamalkan nilai integriti yang tinggi ketika bekerja.
Inilah orang kata, biarlah jasa itu hanya sekecil batu di jalanan. Biarlah orang tak tahu apa kita buat. Namun kerana hati yang baik nak jalankan amanah, Tuhan bukakan jalan untuknya. Tahniah Shazlan atas integriti anda. Semoga jadi pengajaran buat kita semua.
Sumber: Penang Kini / Putera Shazlan