Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
MUAR, 27 Mac (Bernama) — Bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan dari dapur rumah di Pasir Gudang, kini sepasang suami isteri boleh tersenyum apabila produk berasaskan soya yang diusahakan, sudah mampu menembusi pasaran di beberapa daerah di Johor.
Jika dahulu pasangan, Noraini Ismail, 36, dan suaminya, Mohd Fazri Mohd Saimi, 36, hanya menjual air soya dan taufufa, namun hasil kerja keras dibantu pelbagai bantuan daripada kerajaan, syarikat milik mereka mampu menghasilkan pelbagai produk daripada bijirin itu.
Lebih membanggakan premis perniagaan dan trak makanan yang dimiliki bersama di bawah label FN Maju Enterprise itu dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Mengimbas kembali detik menceburi perniagaan itu, Noraini berkata segalanya bermula pada 2011 apabila suaminya yang bekerja di sebuah pelabuhan di Pasir Gudang ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) oleh majikan.
Enggan menyerahkan nasib kepada takdir semata-mata, pasangan ini kemudiannya berazam untuk memajukan diri dengan menceburi bidang perniagaan berasaskan produk soya, ditambah pula mereka juga penggemar air soya.
Bermodalkan wang yang diperoleh daripada pampasan VSS, pasangan ini kemudiannya membeli mesin pemprosesan soya dan mengikuti kursus berkaitan di Pejabat Pertanian Air Hitam.
“Mula-mula rasa cuak juga ketika hendak memulakan perniagaan, tambahan lagi kami tidak ada pengalaman. Tetapi alhamdulillah dengan tunjuk ajar daripada Pejabat Pertanian Air Hitam ketika itu, perniagaan kami mendapat sambutan.
“Selepas lebih setahun beroperasi dari rumah di Pasir Gudang, kami mengambil keputusan untuk berpindah ke Felcra Bukit Kepong untuk mengembangkan lagi perniagaan, tambahan lagi suami juga anak peneroka, ” kata Noraini.
Bermula saat itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang dan mereka terus menerima bimbingan dan bantuan dana daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sehingga mampu memiliki premis dan trak makanan sendiri.
Kini selain menjual air soya dan taufufa perisa asli, syarikat itu juga memasarkan produk taufufa perisa tembikai susu, strawberi, pisang serta ais kisar soya dan bakal memasarkan tauhu kering (fuchuk), tauhu keping dan cincau tidak lama lagi.
Mereka kini mempunyai tujuh ejen di beberapa daerah di negeri itu seperti Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Kluang yang memasarkan produk syarikat itu menerusi pasar tani, tapak trak makanan serta penghantaran terus ke lokasi tempahan.
Sumber: BERNAMA