Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Ibu Guna Parang Halang AADK Tangkap Anak

IPOH, 28 Mac (Bernama) — Seorang ibu sanggup menunggu di depan pintu rumah sambil memegang parang bagi menghalang pasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan dua anaknya yang dipercayai terlibat dengan penagihan dadah di rumahnya di Batu Kurau, kira-kira 100 kilometer dari sini,  hari ini.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Negeri Perak A. Reuben berkata kedua-dua anaknya yang berusia 18 dan 20 tahun itu bertindak menyembunyikan diri di dalam rumah selain cuba memanjat bumbung rumah untuk melarikan diri namun kemudiannya berjaya ditahan.

“Kami mengambil masa selama 30 minit untuk memujuk ibu berusia 60-an untuk memberi kerjasama untuk AADK membuat pemeriksaan dalam rumah.

”Sewaktu kejadian ini, rumah tersebut telah dikepung dan kami terdengar bunyi orang memanjat bumbung yang merupakan dua lelaki tersebut. Mereka akhirnya menyerah diri selepas berjaya dipujuk,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang bekalan dadah namun saringan awal air kencing ke atas dua beradik itu mendapati mereka positif dadah.

Katanya dua beradik itu antara 36 warga tempatan berusia 16 hingga 56 tahun termasuk seorang pengedar dadah yang ditahan dalam Op Perdana bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah Larut Matang Dan Selama selama dua hari sehingga hari ini.

Reuben berkata dalam tempoh itu juga, AADK merampas 55.29 gram dadah jenis morfin yang keseluruhannya bernilai antara RM800 hingga RM1,000 mengikut harga pasaran gelap.

”Semua tangkapan yang positif ujian saringan awal air kencing akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998, manakala suspek yang didapati memiliki dadah telah diserahkan pada pihak polis dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.