Siakap Keli
Gambar: Bernama

Bizzakat Platform Promosi Produk, Perkhidmatan Usahawan Islam Pahang

KUANTAN, 31 Mac (Bernama) — Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang hari ini, melancarkan aplikasi Bizzakat sebagai platform mempromosikan produk dan perkhidmatan oleh peniaga serta usahawan Islam di seluruh daerah negeri ini secara percuma.

Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang Datuk Halidan Md Daud berkata setakat ini, lebih 2,500 syarikat atau usahawan telah berdaftar sebagai ahli di aplikasi yang bermatlamat membentuk komuniti usahawan Islam berkualiti yang melaksanakan urus niaga dengan berdisiplin, jujur serta berbudi pekerti.

“Bizzakat juga membuka ruang kepada usahawan asnaf, iaitu asnaf penerima bantuan modal daripada dana Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk mempromosikan perniagaan mereka.

“Usaha ini diharap dapat membantu asnaf meningkatkan jualan sehingga dapat keluar daripada garisan kemiskinan dan akhirnya juga boleh membayar zakat apabila menepati kriteria ditetapkan sebagai pembayar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Bizzakat yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail secara dalam talian di sini, hari ini.

Halidan menambah Bizzakat juga menjadi alternatif kepada pengguna yang mencari barang atau perkhidmatan tertentu daripada usahawan Islam, yang dimudahkan apabila ahli disenaraikan mengikut daerah dan jenis perniagaan selain penggunaan kata kunci.

Selain produk makanan dan minuman, antara kategori perniagaan disenaraikan dalam Bizzakat ialah perkhidmatan inap desa, kelas tambahan, pertanian dan penternakan, peruncitan serta perkhidmatan kontraktor.

“Selain maklumat mengenai produk dan perkhidmatan, kesahihan perniagaan juga dikawal dengan pemberian nombor daftar ahli yang khusus iaitu hanya usahawan yang telah disahkan akan menerima nombor ahli.

“Sebagai usahawan Islam, ciri penting yang ditekankan ialah bersifat jujur, berakhlak mulia dan pembersih. Ahli juga boleh dikeluarkan jika tidak memenuhi kriteria seperti menawarkan produk atau perkhidmatan tidak berkualiti,” katanya.

Mengulas idea penubuhan Bizzakat, Halidan berkata aplikasi itu merupakan penambahbaikan kepada jaringan tertutup diwujudkan PKZ Pahang pada tahun 2012 dikenali sebagai Desa Berkat, melibatkan usahawan pembayar zakat untuk berkongsi maklumat dan strategi perniagaan.

Jaringan tertutup itu kemudiannya dibuka untuk diakses oleh pengguna atau pembeli sekitar tahun 2015, dengan namanya ditukar kepada Usahawan Berkat, namun keahliannya masih terhad kepada usahawan atau syarikat yang membayar zakat.

“Aplikasi Bizzakat dengan nafas baharu yang dilancarkan hari ini, bagaimanapun tidak lagi terhad kepada pembayar zakat kerana kami mahu mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih meluas dan pelbagai,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.