Siakap Keli
Gambar: Bernama

Fikirlah: Hargai Alam Semula Jadi, Perkasa Hutan Sebelum Punah

KOTA KINABALU, 31 Mac (Bernama) — Semasa saya kecil, ayah membawa kami sekeluarga tinggal di tengah-tengah hutan dara, terletak kira-kira lima kilometer dari Kampung Bayangan, Keningau.

Rumah kecil kami berdindingkan buluh dan tidak ada bilik. Cuma ada sebuah ruang besar yang ada sudut untuk tidur dan untuk ibu saya, Wariah Bandiol, memasak.

Meskipun kami hanya tinggal di situ hanya kira-kira dua atau tiga tahun, banyak kenangan indah yang masih saya ingat, tinggal nun jauh di dalam hutan bersama emak, ayah dan tiga adik-beradik yang lain.

Ayah saya, Madi Gadau, membanting tulang, membersihkan kawasan semak di sekeliling rumah untuk menanam pokok getah.

Kawasan sekitar yang lain kemudiannya diterokai untuk tujuan pertanian dan diberi nama Pamalan.

Semasa kawasan itu diterokai, saya pula pada masa itu sudah meninggalkan bangku sekolah menengah dan menyertai pasukan tentera, Regimen 3 Renjer Malaysia pada tahun 1965.

Kini saya sudah berusia 70 tahun tetapi saya masih terbayang-bayangkan ketika merayau-rayau di dalam hutan sambil ditemani suara unggas dan banyak bunyian haiwan lain yang sinonim dengan suasana di tengah hutan belantara.

Seakan suatu misteri dan ada kala mendebarkan. Seolah-olah haiwan yang menghuni hutan ini begitu asyik bersahut-sahutan, menghibur hati.

Pengalaman tinggal di dalam hutan membuatkan hati dan jiwa saya dekat dengan hutan, hidupan flora dan fauna yang ada di dalamnya, di kelilingi ekosistem yang tidak diusik manusia.

ISU ALAM SEKITAR

Cuma semasa kecil, manalah saya hendak tahu kepentingan tumbuhan. Selain menjadi sumber makanan, banyak sungguh manfaat tumbuhan termasuk mengawal suhu iklim bumi. Ini kerana tumbuhan menyerap karbon dioksida daripada udara serta menghasilkan oksigen dan kemudiannya melepaskan gas itu ke dalam atmosfera.

Hari ini, Malaysia adalah antara banyak negara yang memberi perhatian berat kepada isu alam sekitar. Negara kita boleh dikatakan bertuah kerana mempunyai antara hutan hujan tertua di dunia yang mengandungi spesies flora dan fauna seperti Rafflesia, Orang Utan, gajah Asia, lembu liar Borneon Banteng (Tembadau dalam bahasa tempatan) serta Monyet Proboscis.

Namun, malang sekali untuk Malaysia dengan kepupusan spesies Badak Sumatera, apabila satu-satunya badak sumbu betina yang ada, Iman, yang dibela di Taman Hidupan Liar Tabin, mati pada November 2019. Kematian Iman berlaku enam bulan selepas kematian badak sumbu jantan terakhir Malaysia, Tam.Taman Hidupan Liar Tabin terletak di daerah Lahad Datu di pantai timur Sabah.

Diwujudkan pada tahun 1984, Taman seluas 121,406 hektar itu, yang dianggap rizab hidupan liar terbesar di Malaysia, diisytihar sebagai rizab hidupan liar kerana banyak haiwan menghuni hutannya, dan ada yang dianggap sangat terancam. Mamalia seperti gajah Borneo dan Tembadau boleh ditemui di dalam hutan itu.

HUTAN

Sebagai seorang wartawan, saya berkesempatan menyertai misi tinjuan hidupan liar di samping ahli sains tempatan dan penyelidik dari universiti tempatan, pertubuhan bukan kerajaan di kawasan pemuliharaan utama Sabah, terutama di Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon.

Ada dua perkara saya pelajari tentang pokok daripada ahli persekitaran, iaitu hutan sebenarnya adalah air kerana takungan air hanya boleh didapapati di kawasan tadahan air dan hutan lebih bernilai jika tidak diusik daripada digondolkan untuk tujuan pembalakan.

Kegiatan yang dijalankan sepanjang misi tinjauan termasuk pemasangan kamera untuk mengesan haiwan dan mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan berdepan ancaman manusia. Hasil dapatan tinjauan ini agak memeranjatkan kerana perburuan haram adalah ancaman terbesar kepada pemuliharaan hidupan liar di Sabah.

Ancaman lain adalah semakin banyak tekanan pembangunan, kebanyakannya menjejaskan alam semula jadi, pembalakan haram serta ancaman kepada kawasan pemuliharaan. Ini terutamanya dalam kalangan masyarakat tempatan serta kumpulan berkepentingan serta berpengaruh yang mahu menggunakan kawasan itu untuk tujuan lain selain daripada pemuliharaan.

KERJA PENYELIDIKAN

Maklumat saintifik yang dikumpul daripada kajian lapangan adalah juga untuk tujuan berkomunikasi dengan pihak berkepentinghan, terutamanya orang awam, berhubung rasional untuk pemuliharaan dan perlindungan.

Kerajaan negeri Sabah komited untuk memastikan hutan serta kepelbagaian biologi dipulihara, dan ini termasuk dasar menambah Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus atau 2.2 juta hektar daripada keluasan tanah Sabah.

Tugas getir menguruskan TPA hanya akan berjaya dengan usaha bersepadu serta sokongan aktif semua jabatan, agensi, institusi kerajaan yang berkaitan serta pihak berkepentingan.

Sabah pada masa ini mempunyai 1.8 juta hektar TPA atau 24 peratus daripada keluasan tanah yang ada termasuk Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Imbak Canyon, yang dianggap kawasan hutan hujan yang sungguh berharga, bukan sahaja untuk Sabah tetapi juga Malaysia dan Borneo. Keluasan tanah ketiga-tiga kawasan ini sekitar 130,000 hektar.

Di bawah enakmen hutan negeri, pembalakan atau sebarang kegunaan yang memusnahkan TPA tidak boleh dijalankan. Kesedaran umum serta kegiatan pendidikan perlu diadakan secara terus-menerus bagi memastikan kelestarian kawasan perlindungan.

KAWASAN DILINDUNGI

Keadaan ini mengingatkan saya kepada penduduk kampung di Singgaron Baru, di daerah Ranau yang begitu berani berjuang mempertahankan kawasan tadahan air seluas kira-kira 72 hektar yang berusia lebih separuh abad, yang terletak berhampiran kampung mereka.

Terdapat juga keperluan mendesak untuk memperkukuhkan penguatkuasaan di sekitar zon penampan kawasan yang dilindungi bagi meminimumkan cubaan pemburu haram untuk menceroboh ke dalam kawasan pemuliharaan.

Menurut Kesatuan Antarabangsa Pemuliharan Alam Semula Jadi (IUCN), kawasan dilindungi didefinisikan, antara lain, “untuk mencapai pemuliharaan alam semula jadi jangka panjang dengan sistem ekologi dan nilai kebudayaan yang berkaitan.”

Saya percaya dan yakin aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan mengorbankan keperluan mengekalkan kepelbagaian biologi negara.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis)

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.