SINGAPURA, 31 Mac (Bernama) — Singapura bercadang menyertai usaha antarabangsa untuk meningkatkan kemampuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membantu negara berpendapatan rendah dalam menangani kejatuhan ekonomi akibat wabak COVID-19.
Menurut Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS), Singapura akan memberikan geran berjumlah US$20.57 juta kepada Catastrophe Containment and Relief Trust IMF; Relief Trust; COVID-19 Crisis Capacity Development Initiative; dan Trust for Special Poverty Reduction and Growth Operations for the Heavily Indebted Poor Countries.
Bank pusat itu berkata geran berkenaan membolehkan IMF menyokong lonjakan permintaan bantuan kewangan dari negara-negara itu.
Namun, ia tertakluk kepada kelulusan Parlimen pada 5 April, katanya dalam satu kenyataan di sini.
MAS berkata republik itu amat berminat untuk menyokong pemulihan ekonomi global yang terkesan akibat wabak COVID-19.
“Di samping sumbangan negara anggota yang lain, sumbangan Singapura itu juga sebagai respons terhadap permintaan IMF selain menunjukkan sokongan kami terhadap usaha kolektif global membantu negara-negara paling rentan,” katanya.
Sumber: BERNAMA