Siakap Keli
Gambar: Bernama

(Video) Tongkang Hanyut Langgar Jeti Di Marina Pulau Indah

SHAH ALAM, 31 Mac (Bernama) — Sebuah tongkang yang hanyut telah melanggar jeti di Marina Pulau Indah dan menyebabkan kerosakan struktur pada jeti berkenaan pada jam 3 petang semalam, kata Jabatan Laut Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan bahawa Jabatan Laut Wilayah Tengah telah menerima makluman berkaitan Tongkang Inai Tanjung 39 yang hanyut dan menuju ke Marina Pulau Indah.

“Insiden tersebut telah menyebabkan kerosakan yang serius kepada struktur Pier Ahmad, di mana tiang cerucuk telah condong dan pontoon yang menghubungkan antara jalan darat di Marina dan Pier Ahmad juga telah pecah.

“Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dan tiada tumpahan minyak berlaku.  Punca kejadian masih dalam siasatan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan susulan kejadian tersebut, tongkang itu terkandas di tempat kejadian dan telah ditunda oleh bot tunda pada kira-kira jam 4 petang hari yang sama ke Inai Kiara Shipyard.

Menurut itu menyatakan, satu pasukan penyiasat telah ditubuhkan oleh Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah dan bersama-sama pihak terlibat sedang mengenal pasti punca kejadian itu berlaku.

Posted by Lias Tkem on Wednesday, March 31, 2021

— BERNAMA

" "