Siakap Keli

Kenali Kumpulan Darah ‘Rh-null’ & Digelar ‘Golden Blood’, Dimiliki 50 Orang Dalam 50 Tahun Terakhir

Tiga abjad pada kumpulan darah iaitu A,B dan O bukanlah sesuatu yang baru untuk kita ketahui. Tapi, tahukah anda, selain daripada kumpulan darah ini, terdapat satu lagi kumpulan darah yang sangat jarang ditemui iaitu Rh-null.

Darah ini digelar golden blood atau “darah emas” kerana hanya dimiliki oleh kurang daripada 50 orang dalam 50 tahun terakhir. Hanya sembilan orang penderma aktif darah ini yang direkodkan.

Kumpulan darah Rh-null pertama kali ditemui pada seorang wanita dari puak asli Australia pada tahun 1961. Sehingga tahun tersebut, para doktor menyimpulkan bahawa individu dengan kumpulan darah ini tidak akan mampu bertahan setelah dilahirkan.

Hal ini kerana, bayi dengan “darah emas” ini kekurangan antigen Rh yang merupakan fungsi penting dalam badan.

Kumpulan darah Rh-null mempunyai dua kategori iaitu Rh-positif (kurang antigen Rh) dan Rh-negatif (kurang antigen RhD sahaja).

Bagaimana kumpulan darah Rh-null terbentuk?

Seseorang itu berkemungkinan mempunyai kumpulan darah Rh-null oleh kerana beberapa faktor:

  • Perkahwinan antara keluarga seperti sepupu, adik-beradik atau keluarga terdekat
  • Kelainan genetik seperti penyakit keturunan
  • Perubahan atau kehilangan sesetengah genetik seperti RHD dan RHCE atau RHAG

Cabaran pemilik “darah emas”

Individu dengan kumpulan darah Rh-null cenderung menghidap hemolytic anemia sejak lahir, di mana hemoglobin dan RBCs penghidap akan berkurang dengan cepat. Penghidap akan selalu berwajah pucat dan tidak bermaya.

Pemilik darah Rh-null juga berkemungkinan mengalami kesukaran dalam menderma atau menerima darah, selain kesukaran untuk hamil.

Seseorang dengan “darah emas” juga berkemungkinan mengalami pelbagai komplikasi termasuk kegagalan ginjal.

Individu dengan kumpulan darah Rh-null mampu menjadi penderma universal untuk sesiapa yang mempunyai jenis darah yang jarang ditemui dalam sistem Rh.

Walaupun individu dengan “darah emas” ini boleh menjadi penderma, namun kesukaran untuk menemui sesorang dengan kumpulan darah ini menjadikan darah mereka sangat bernilai.

Sumber: MedicineNet

Eyla Azri