
Haiwan seperti gajah liar sememangnya ditakuti kerana boleh bertindak di luar kawalan sekiranya diganggu. Oleh itu, jika terserempak dengan haiwan ini yang sedang berkeliaran, orang ramai sering dinasihatkan untuk tidak menganggu pergerakan mereka.
Namun, lain pula yang berlaku di negara jiran Indonesia apabila terdapat gajah liar yang menjadi ‘haiwan peliharaan’ penduduk setempat kerana sifatnya yang manja dan sering datang ketika dipanggil.
Menerusi perkongsian beberapa video di akaun TikTok erroge, anak gajah yang diberi nama ‘Yuyun’ itu dikatakan berusia 2 tahun dan tinggal di dalam hutan di sebuah daerah di Acheh tetapi diberi makan oleh beberapa orang penduduk.
Sambil membawa pisang, seorang penduduk melaungkan nama Yuyun sebelum anak gajah itu menghampirinya dan memakan pisang tersebut yang disuapkan ke dalam mulut. Amboi memang manja!
Turut kelihatan video menunjukkan Yuyun yang lincah bermain dengan beberapa orang penduduk sambil mengejar mereka kemudian melarikan diri. Bukan sahaja tidak takut, mereka dilihat ketawa sambil membelai anak gajah itu yang dipercayai turut ditemani oleh ibunya, seekor gajah dewasa.
Rata-rata pengguna Tiktok yang membanjiri ruangan komen turut memuji kecomelan haiwan tersebut dan menyifatkan sesuatu yang luar dari kebiasaan apabila gajah dijadikan sebagai ‘haiwan peliharaan’.







Sumber: TikTok erroge