Ketika pandemik melanda dunia ini, prosedur operasi standard (SOP) di hospital menjadi semakin ketat. Terutamanya melibatkan wad-wad yang menempatkan pesakit dengan gejala pernafasan termasuk COVID-19. Tiada peneman, hatta pelawat tidak dibenarkan masuk menunggu.
Ketika kehadiran insan tersayang amat diperlukan, jururawat di Brazil mengambil inisiatif membuat ‘tangan tiruan’ untuk menggantikan tangan manusia bagi memberi motivasi buat mereka. Tangan tiruan itu kemudiannya digunakan untuk ‘memegang’ tangan pesakit COVID-19 yang terlantar seakan-akan pegangan daripada insan tersayang.
Menurut Times Now News, mereka menggunakan sarung tangan getah yang diisi air panas, mereka mengikat objek itu seakan belon air dan meletakkannya pada tangan pesakit yang terlantar, dengan harapan dapat memberi suntikan semangat kepada pesakit bahawa mereka tidak keseorangan.
Tulis portal itu, gambar berkenaan telah dikongsikan oleh editor Gulf News, Sadiq Bhat dengan kapsyen,
“Jururawat cuba memberi keselesaan kepada pesakit di wad isolasi COVID-19 di Brazil. Dua sarung tangan getah diikat, diisi air panas, simulasi sentuhan manusia. Tabik kepada petugas barisan hadapan dan peringatan yang jelas terhadap situasi suram yang dunia kita sedang hadapi!”

Sumber: Times Now News