Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Bukan Hanya Tengok ‘Mileage’, Ini Antara Tanda-Tanda Minyak Enjin Perlu Ditukar, Elak Jadi Lebih Teruk

Minyak pelincir merupakan salah satu perkara penting untuk memastikan kereta anda sentiasa dalam keadaan baik. Minyak pelincir yang berkualiti dapat memperbaik prestasi kereta dan memanjang jangka hayat enjin kenderaan.

Tapi, masih ada segelintir daripada kita yang berlengah dan hanya menukarnya ketika ada masalah pada kereta.

Mungkin ramai pemandu di luar sana yang masih bergantung kepada nilai jarak tempuh atau mileage sebagai pengukur untuk menukar minyak pelincir.

Tahukah anda, faktor lain seperti kualiti minyak, usia kereta dan cara pemanduan juga berperanan penting untuk menentukan waktu menukar minyak pelincir?

Minyak pelincir yang bersih memicu kepada prestasi kenderaan yang optimum dan dapat membersihkan enjin.

Bila perlu tukar minyak pelincir? Ini tanda-tanda yang mungkin ditunjukkan oleh kenderaan anda.

Simbol Indikator Enjin Menyala

Gambar: Motoring

Amaran periksa enjin atau check engine menyala menunjukkan minyak pelincir tidak mencukupi. Periksa dipstick untuk mengetahui sama ada minyak enjin anda mencukupi atau tidak.

Sekiranya indikator periksa enjin berkelip-kelip, ia adalah amaran bahawa enjin kereta anda dalam keadaan berisiko. Enjin anda mungkin mengalami kerosakan kerana kurang minyak pelincir.

Enjin ‘mengaum’ dan mengetuk

Minyak melindungi enjin anda daripada bergeser. Enjin yang senyap menandakan ia dalam keadaan baik.

Jika minyak pelincir tidak berfungsi seperti sepatutnya, enjin anda akan mengeluarkan bunyi.

Sekiranya anda mendengar bunyi ketukan atau enjin seperti mengaum, ini bermakna enjin sedang mengalami kerosakan kerana kurang pelincir.

Minyak hitam dan kotor

Minyak enjin yang bersih berwarna agak kekuningan dan sedikit jernih. Setelah digunakan, minyak enjin menangkap pelbagai partikel dari enjin dan menjadi lebih gelap.

Oleh kerana tiada tempoh tertentu bila warna minyak enjin akan berubah, anda perlu memeriksa minyak enjin sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Gambar: Freepik

Alihkan dipstick daripada tangki minyak enjin, lap dan masukkan kembali. Keluarkan dipstick dan anda akan nampak pertukaran warna minyak enjin anda.

Bau minyak dalam kereta

Sekiranya anda dapat menghidu bau minyak dari dalam kereta, dikhuatiri  telah berlaku kebocoran minyak pada enjin kenderaan anda.

Mungkin juga anda dapat menghidu bau gas atau seakan-akan asap daripada ekzos. Jika hal ini terjadi, anda perlu menyelenggara kereta anda secepat mungkin.

Asap

Wap tidak berwarna akan sentiasa keluar dari ekzos anda. Namun, jika ia bertukar kepada asap, anda perlu memeriksa enjin kenderaan anda. Mungkin terjadi kegagalan enjin atau kebocoran minyak.

Mileage berlebihan

Gambar: The Balance Small Business

Sekiranya anda memandu dalam jarak jauh pada sebulan terakhir, anda perlu menukar minyak enjin lebih awal daripada yang dijadualkan.

Setiap kereta mempunyai prestasi yang berbeza. Namun, minyak enjin perlu ditukar setiap 5,000 kilometer jarak tempuh atau tiga bulan sekali.

Minyak enjin pada kenderaan baharu pada umumnya perlu ditukar setiap 10,000 kilometer jarak tempuh atau selepas enam bulan.

Menukar minyak enjin tidak memakan kos yang tinggi. Sekiranya anda tidak mahu tersadai di tepi jalan kerana enjin mati, jangan berlengah-lengah untuk menukar minyak enjin.

Sumber: Machinery Lubrication

Eyla Azri