Siakap Keli
Gambar: FINAS

Pelakon & Seniman Veteran, Abu Bakar Omar Meninggal Dunia

Seniman veteran tanah air, Haji Abu Bakar Omar, 73, dilaporkan telah meninggal dunia hari ini. Berita pemergian pelakon itu dikongsikan anaknya, Mohd Zainuddin Abu Bakar di laman Facebooknya sebentar tadi.

Menurut Zainuddin, ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir pada 9.04 pagi tadi dan akan disolatkan selepas solat Jumaat. Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah selepas solat Asar hari ini, katanya.

Dikemuliaan pagi Jumaat 4 Ramdhan 1442H bersamaan 16 April 2021 jam 9.04 pagi..

Dengan sedih keluarga memaklumkan bahawa Ayahanda Kami Tuan Haji Abu Bakar Omar telah dijemput kembali ke Rahmatullah..

Jenazah akan diuruskan di No 7 Jalan Bukit Nyamuk Mukim Kurung Hitam Kuala Nerang.. Solat Jenazah dijangka selepas solat Jumaat..

Jenazah akan disemadikan dan disolatkan sekali lagi Masjid Al Ghufran di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru Jalan Pegawai Alor Setar Kedah selepas Solat Asar InsyaAllah..

Mohon doakan Ayahanda kami diampuni segala khilafnya…ditempatkan bersama para Solihin..\

Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala salah silap Almarhum Ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini..

Sekiranya ada hutang piutang ayahanda…mohon sudi berhubung dengan saya di talian 016 2210340.. Diberkati rahmat Allah selalu duhai Ayahanda… Kami akan sentiasa merinduimu..
Dari Allah kita datang…Kepada Allah kita kembali… Al-Fatihah

Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Rasa duka itu dikongsikan di laman Facebook rasmi badan berkenaan sebentar tadi.

FINAS dengan rasa sedih dan dukacita ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga seniman veteran dan penggiat seni yang dihormati, Allahyarham Haji Abu Bakar Omar yang telah meninggal dunia pada hari Jumaat, 16 April 2021. Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarham di kalangan mereka yang soleh dan beriman.

Allahyarham pernah membintangi filem terkenal termasuk Hingga Hujung Nyawa, Cinta Kolestrol dan juga Duyung. Beliau pernah merangkul gelaran Pelakon Lelaki Terbaik hasil lakonannya dalam telefilem Gincu Ayah pada 2012.

Takziah kepada keluarga Allahyarham.

Sumber: Mohd Zainuddin Abu Bakar, FINAS

Amira

Love yourself.