Siakap Keli

Saintis Amerika Dilapor Rancang Mahu ‘Kurangkan’ Cahaya Matahari Sampai Ke Bumi, Usaha Lawan Perubahan Iklim

Mungkin ada yang tidak sedar bahawa matahari mempunyai peranan penting dalam ‘menghidupkan’ bumi ini. Manakan tidak, tanpa cahaya panasnya, bumi akan menjadi seperti bola batu berlapis ais yang ‘tidak bernyawa’.

Sistem solar itu juga berperanan menghangatkan lautan, menggerakkan atmosfera, menghasilkan corak cuaca dan memberikan tenaga kepada tumbuh-tumbuhan hijau. Seperti yang dipelajari ketika sekolah dulu, proses yang dikenali sebagai fotosintesis itu akan menyediakan makanan dan oksigen untuk kehidupan di bumi.

Pun begitu, ada sesetengah pihak yang mendakwa bahawa cahaya matahari ini boleh menjadi punca kepada masalah perubahan iklim.

Disebabkan itu, saintis AS dilaporkan akan mewujudkan program penyelidikan bernilai jutaan dolar mengenai geoengineering solar yang bertujuan untuk mengurangkan sinar cahaya matahari.

Menurut The Guardian, mereka memerlukan dana dari 100 juta USD sehingga 200 juta USD selama lima tahun untuk lebih memahami kemungkinan ‘campur tangan’ mengurangkan cahaya matahari itu.

National Academies of Sciences (NAS) mengatakan bahawa tindakan perlu dilakukan bagi menangani krisis iklim.

Satu laporan dari Universiti Harvard pula menjelaskan bahawa eksperimen luar  perlu dibenarkan hanya jika ia memberikan pengetahuan kritikal yang tidak dapat diperoleh dengan cara yang lain.

Laporan itu mempertimbangkan tiga jenis geoengineering solar untuk membolehkan lebih banyak haba ‘melarikan diri’ dari atmosfera bumi iaitu dengan ‘menyuntikkan’ zarah pantulan kecil ke dalam stratosfera untuk menyekat cahaya matahari.

Tidak cuma itu, zarah-zarah itu akan digunakan untuk menjadikan awan rendah di lautan menjadi lebih reflektif dan menipiskan awan cirrus yang beraltitud tinggi.

Ia walau bagaimanapun ditentang oleh aktivis dan kumpulan alam sekitar sehingga menjadi perdebatan.

Penyokong geoengineering berpendapat bahawa pemanasan global mempunyai kesan yang sangat besar dan apa sahaja pilihan yang ada perlu dilakukan agar dapat mengatasi masalah itu. Manakala, penentang pula berpendapat bahawa penyelidikan seperti itu meningkatkan risiko penggunaan teknologi yang bukan untuk mengurangkan pelepasan bahan api tetapi  dimanfaatkan oleh negara ‘jahat’.

Pengkritik juga memperingatkan bahawa geoengineering ini dapat menyebabkan kerosakan seperti kegagalan tanaman dan perlu dipertahankan untuk menghindari kenaikan suhu secara tiba-tiba.

Sumber: The Guardian

Sofea

There's always another side to every story