Siakap Keli
Gambar Via Daily Mail

Gunung Everest Rekod Kes Pertama COVID-19, Pendaki Dibawa Turun Dengan Helikopter

Gunung Everest dilaporkan telah merekodkan kes pertama jangkitan COVID-19 setelah seorang anggota ekspedisi disahkan positif virus itu.

Individu positif tersebut telah diasingkan dan dibawa oleh helikopter ke sebuah hospital di Kathmandu, Nepal pada minggu lalu, sementara anggota ekspedisi yang lain terpaksa dikuarantin di Base Camp.

Menurut Daily Mail, ia berlaku kerana pendaki diizinkan untuk kembali ke gunung itu pada bulan ini untuk pertama kalinya sejak pandemik itu melanda.

Sumber berita tempatan melaporkan bahawa pada mulanya pendaki tersebut menyangka bahawa dia menghidap high-altitude pulmonary edema kerana keadaan cuaca di situ tetapi selepas menjalani ujian di hospital Kathmandu, dia disahkan positif COVID-19.

Tiada kes lain yang dikesan dan pasukan pendaki di atas gunung itu meneruskan pendakian mereka.

Nepal sebelum ini telah mewajibkan pelancong asing untuk membuat ujian COVID-19 semasa tiba di negara itu dan menjalani tempoh kuarantin.

Lebih 300 pendaki dijangka akan ‘menawan’ gunung tersebut yang berketinggian 29,032 kaki pada musim ini berbanding pada tahun 2019.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story