Siakap Keli

RM500 Bantuan Khas Aidilfitri Untuk Penjawat Awam Gred 56 Ke Bawah, RM250 Untuk Pesara Kerajaan

Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP dan RM250 kepada Pesara Kerajaan.

Menerusi kenyataan media hari ini, pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.

Tambah lagi, pembayaran bagi bantuan khas ini akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji bulan Mei iaitu pada 6 Mei 2021. Bantuan khas tersebut akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara. Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelum atas keperihatinan Kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan berharap dengan pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang