Siakap Keli
Foto: Facebook

Lima Remaja Ditahan Lakukan Aksi Superman Di Lebuh Raya

KUALA LUMPUR, 24 April – Tindakan lima remaja lelaki termasuk dua pelajar Tingkatan Tiga melakukan aksi berbahaya ketika menungggang motosikal membawa padah apabila ditahan di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) di Ampang awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata remaja berusia 15 hingga 19 tahun itu ditahan oleh pihaknya menerusi Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan pada 1 hingga 4.30 pagi.

“Mereka didapati melakukan beberapa aksi seperti ‘zig-zag’ dan ‘Superman’ serta berlumba sesama sendiri sebelum ditahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata seorang suspek adalah pelajar kolej manakala dua lagi masing-masing bekerja sebagai penolong penyelia serta tukang sapu, dan hasil semakan mendapati dua pelajar sekolah menengah itu menunggang motosikal tanpa lesen.

Kesemua remaja itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang