Siakap Keli
Gambar Via Google/Nor Zabetha

“Tiada Lagi Rasa Hormat,” Peguam Kongsi Pandangan Isu Lawak Lucah Di Sekolah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setiap tutur kata seseorang sememangnya akan memberikan kesan kepada orang lain tidak kira secara buruk atau baik. Walaupun mungkin sesuatu perkara itu dianggap kecil namun ia akan memberikan kesan yang besar kepada orang lain.

Sama juga apabila melakukan lawak lucah, ramai yang tidak sedar atau pura-pura tidak sedar bahawa ia merupakan perkara sensitif. Ia bagaikan sudah sekian lama menjadi ‘barah’ yang sukar untuk dibendung dan lebih menyedihkan, ia juga ‘berjangkit’ pada generasi muda.

Melihat isu ini yang hangat sejak beberapa hari yang lalu, peguam, Nor Zabetha menerusi Facebook miliknya memberikan pandangan mengenai perkara tersebut yang dilihat dinormalisasikan dalam masyarakat. Ikuti perkongsiannya di bawah ini.

Lawak lucah dalam masyarakat kita.

Saya membaca hantaran yang di tulis oleh saudara Saiful Nizam, seorang bapa yang membuat laporan polis terhadap lawak lucah seorang guru di hadapan anak-anak murid di sekolah.

Kata guru itu, kalau hendak rogol jangan rogol bawah 18 tahun sebab ada banyak undang-undang yang mengawal. Kalau hendak rogol biar 18 tahun ke atas. Pelajar-pelajar lelaki ketawa. Kelakar ke?

Cikgu itu tahu atau tidak makna rogol? Kalau ada yang melawak dan ketawa bermakna mereka ini sama ada tidak faham maksud rogol atau bengap hendak faham.

Rogol dan seks adalah dua perkara berbeza ya. Walaupun kedua-duanya melibatkan hubungan seks tetapi rogol adalah secara paksa oleh seseorang lelaki terhadap wanita tanpa kerelaannya atau jika dengan kerelaannya tetapi perempuan ini bawah 16 tahun.

Ini bukan undang-undang akak cipta sendiri ya. Ini selaras dengan Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang definisikan jenayah rogol. Tambah lagi, jika perempuan rela tetapi kerana diugut bunuh, diancam keselamatan atau apabila perogol menggunakan kedudukannya untuk memaksa hubungan seks.

Hubungan seks pula adalah secara kerelaan. Pun begitu jika perempuan bawah 16 tahun ini sama ada secara rela adalah dikira rogol. Kenapa? Kerana anggapan bawah usia 16 tahun mereka masih kanak-kanak dan tidak boleh berfikir dan membuat keputusan. Di Malaysia, umur kanak-kanak di bawah 18 tahun. Jadi 16 tahun ini masih terlalu muda untuk membuat pertimbangan.

Jenayah rogol ini kerana diperolehi secara paksa, jadi ada laporan kes mangsa dihentak, dipukul, ditumbuk, diikat dan menjerit minta tolong dilepaskan tetapi masih juga dirogol secara paksa. Kesan jangka panjangnya akan terus menghantui.

Lagi teruk, apabila ditumbuk, dipegang dan diikat dan dirogol beramai-ramai sehinggakan ada kes mangsa yang dilaporkan di mahkamah, masuk kali yang berapa terus pengsan. Mangsa disimpan beberapa hari oleh sekumpulan perogol berusia 17-25 tahun.

Perogol berkumpulan ini sudah tentulah suka dan ketawa sehinggakan, yang pertama merogol mangsa mengingatkan mangsa “Ingat! Aku yang pertama pecahkan dara kau!”. Ini bukan, akak reka cerita ya, dik. Memang seperti laporan kes di mahkamah.

Pada mereka memanglah ‘sedap’, memanglah hebat dan barangkali lucu tetapi pada mangsa? Kesannya? Masa depannya? Bagaimana hendak menutup sejarah hitam dalam hidup?

Kerana itulah dalam Seksyen 376 iaitu hukuman rogol pada asasnya penjara 20 tahun maksimum tetapi jika berlaku keadaan seperti mangsa rogol bawah 16 tahun atau mangsa jadi gila kerana dirogol atau mangsa bunuh diri kerana dirogol hukuman maksimumnya adalah 30 tahun.

Inilah bahayanya lawak hendak rogol boleh tetapi pilih orang ya! Tidak kelakar tetapi jelas, gaya pemikiran begini menunjukkan bahawa ada yang beranggapan perbuatan begini ‘thrill’.

Apabila cikgu tadi membuat jenaka dan ada pelajar lelaki yang ketawa bermakna mereka masih memandang jenayah rogol itu gurauan.

Jadi tidak hairanlah ramai rogol secara berkumpulan ini dilakukan oleh remaja-remaja lelaki kerana barangkali mereka menganggap keseronokan dan ‘thrill’. Kalau mangsa menangis pun tidak apa tetapi mereka ketawa dan seronok. Perempuan itu bahan seronok sahaja bagi golongan ini.

Tambah pula status si ayah menceritakan bahawa anaknya diugut untuk dirogol oleh pelajar lelaki kerana memalukan sekolah. Mentaliti bodoh dan menunjukkan gaya pemikiran yang kalau lelaki hendak mengajar atau menakutkan wanita perlu rogol supaya takut dan dapat mengawal wanita.

Lawak lucah ini memang sentiasa ada dan sudah tentulah jika mereka yang kaki melawak begini jenis yang tidak segan begini.

Pernah satu ketika dahulu ada seorang kerani perempuan di pejabat saya, bersembang dengan rakannya yang sedang berusaha mendapatkan zuriat “Amacam pedang dah masuk sarung belum? Dapat tak semalam?”

Kuat perbualannya sambil ketawa-ketawa sambil didengari kami semua satu pejabat. Tidak ada segan silu dan tidak malu-malu.

Kalau melihat industri hiburan kita juga, banyak kali juga lawak-lawak lucah ini ditegur dan dikecam tetapi masih juga ada yang melawak begini. Mujur ada yang ramai mengecam misalnya waktu seorang pengacara membuat lawak “Toppoki”.

Jika tidak ada yang mengecam atau menegur, pasti akan jadi perkara biasa. Wanita dijadikan objek, dibuat bahan lawak. Wanita itu boleh dirogol tetapi perlu pilih usia. Lelaki tidak buat laporan kalau dirogol kerana ‘sedap’. Sambil di sekeliling ketawa. Sakit mentaliti begini.

Terima kasih kepada yang sentiasa menegur, mengecam dan memangkah perbuatan dan lawak begini, supaya perbuatan begini masih terkawal kerana sentiasa dikecam. Kalau kita buat tidak kisah, apa yang hendak jadi agaknya? Pada mereka mungkin lawak tetapi orang kiri dan kanan rasa tidak selesa.

Itulah, bila malu itu mula menipis dan bila orang lain hanya objek. Tiada lagi rasa hormat.

Ajar anak lelaki atau perempuan tentang malu, maruah dan menghormati. Agama kita juga melarang kita bersikap seperti ini.

Sumber: Nor Zabetha

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.