Siakap Keli

APMM Kelantan Tumpaskan Aktiviti Penyeludupan Rokok Putih Bernilai RM 1.6 Juta

PASIR PUTEH, 30 April – Sekumpulan penyeludup lari meninggalkan 1.8 juta batang rokok putih bernilai RM1.6 juta setelah kegiatan mereka dihidu anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, kira-kira satu batu nautika dari muara Kuala Senok, dekat sini pada Rabu lepas.

Pengarah APMM Kelantan Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata  sepasukan pegawai dan anggotanya yang sedang melaksanakan Op Khas menggunakan bot samaran telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada jarak satu batu nautika dari muara Kuala Senok pada 11.10 malam.

Beliau berkata pasukan khas itu kemudian mengekori bot berkenaan sehingga kumpulan penyeludup itu merapat di tebing sungai Pengkalan Datu, namun kesemua penyeludup sempat melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau selepas menyedari kehadiran anggota APMM.

“Hasil siasatan lanjut menemukan 1,844,240 batang rokok putih dengan nilai rokok dan cukai berjumlah RM1,622,931.20. Anggota Op Khas turut menemukan enam kenderaan pelbagai guna (MPV) disyaki milik kumpulan penyeludup itu untuk mengangkut rokok yang dibawa.

“Nilai bot dan enam MPV dianggarkan berjumlah RM758,000. Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2,380,931.20,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhd Nur Syam berkata rokok berkenaan dipercayai untuk dipasarkan ke kawasan-kawasan perladangan dan Felda seperti Gua Musang, Kuala Krai dan sebahagian Felda di Pahang.

Katanya, turut ditemukan satu paket kecil yang disyaki dadah jenis syabu berserta peralatan menghisap dadah dan dipercayai untuk kegunaan peribadi individu yang menjalankan kegiatan penyeludupan itu.

“Rokok, MPV dan bot terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang