Ketika di sekolah atau universiti, pasti ramai yang menggunakan kaedah menulis nota sendiri untuk mengingati dan memahami sesuatu subjek yang dipelajari. Bagi yang menulis nota dengan lengkap dan tulisan yang cantik, ia pasti akan menjadi ‘rebutan’ ramai untuk dipinjam.
Tidak cuma itu, bakat dan kreativiti yang ada pada seseorang juga boleh mengubah sesebuah buku nota menjadi satu ‘kanvas’ yang mempesonakan.
Seperti buku nota ini yang tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu. Dihasilkan oleh pelukis ilustrasi, Jo Brown, buku nota tersebut menjadi ‘dokumentasi’ penemuan yang dilakukan oleh pelukis itu mengenai alam semulajadi.
Menurut MyModernMet, setiap helaian buku nota itu mengandungi lukisan berserta nota mengenai tumbuhan dan haiwan yang dilihatnya di bandar Devon, England.
Buku nota yang juga dinamakan sebagai ‘Nature Journal’ itu mempunyai lukisan yang sangat kemas dan teliti dengan warna-warna yang sangat mempesonakan. Ia memberikan gambaran yang jelas mengenai tumbuhan dan haiwan itu bagi sesiapa yang membacanya.
Jo yang berkelulusan dari Falmouth College of Art dengan Ijazah Sarjana Muda Ilustrasi itu berkata bahawa dia menghasilkan jurnal itu bagi mencatat segala perkara yang ditemuinya kerana alam adalah salah satu perkara yang penting di dalam hidupnya.
Dari tanaman, serangga kecil sehingga burung, jurnal alam itu menjadi ingatan ilustrasi mengenai penemuannnya mengikut urutan yang ditemukan.
“Kebanyakan lukisan yang digambarkan adalah perkara yang boleh ditemui oleh sesiapa sahaja dengan sedikit pemerhatian dan kesabaran,” katanya.
Wanita itu juga menggunakan gabungan pen dan pensil berwarna untuk menggambarkan subjeknya dengan terperinci. Sama seperti ilustrasi di dalam buku ilmiah, dia sering menyertakan gambar komponen tertentu seperti telur serangga.
Jo juga pernah mempamerkan bukunya itu melalui video yang tular di Twitter pada tahun 2019 yang lalu.
My #naturejournal so far pic.twitter.com/GY0PTrmw1b
— Bernoid (@bernoid) April 26, 2019
Sumber: My Modern Met