Siakap Keli

“Teringat Dulu2 Mak Sahut Nama Je Terus Datang”, Iklan Raya Air Selangor Terpaling Sedih, Kisah 1 Syawal Tanpa ‘Syurga’

Pejam celik pejam celik, esok dah nak raya. Bagi yang beraya di bandar, mesti sedih sebab terpaksa berjauhan dengan mak  ayah tercinta di kampung. Masa ni lah segala memori dahulu kala bertandang balik dalam ingatan.

Kalau dulu-dulu di kampung, masuk je Ramadhan, hampir setiap rumah pasang lampu kelip-kelip atau pelita. Baju raya, kuih raya semua dah dipesan lebih awal.

Bila tinggal beberapa hari sebelum raya, sanak saudara mula pulang ke kampung untuk berkumpul. Penuh laman dengan kereta. Saudara-saudara lelaki tidur bergelimpangan di tengah rumah berlapikkan toto.

Masing-masing ada tugas sendiri untuk buat persediaan hari raya daripada beli barang, cuci tingkap, gantung langsir, hinggalah bakar lemang kat luar rumah.

Sambil dengar lagu raya & ‘berpesta’ bunga api, memang excited habislah. Sekali sekala nyaris luruh jantung dek bunyi mercun atau letupan meriam buluh kampung sebelah.

Malam 1 Syawal pula, ramai-ramai bertakbir raya. Mak-mak pula sudah mula masukkan kuih dalam balang dan seterika baju raya untuk dipakai esok. Ayah-ayah sediakan sampul duit raya untuk diberi kepada anak-anak saudara esoknya.

Anak-anak pula, kekadang sampai tak lelap mata dibuatnya sebab teruja nak sambut hari esok. Bersembang dengan sepupu-sepapat sampai ke pagi. Maklumlah.. hampir setahun tak jumpa.

Tapi sekarang itu semua tinggal kenangan. Tahun kedua raya dengan Covid-19 dan PKP, banyak perkara perlu kita jaga.

Tipulah kalau tak rindu orang tua. Apatah lagi bila mereka tanya, “Balik raya tak tahun ni?”

Hancur luluh hati dibuatnya.

Raya kali ini banyak mengingatkan kita agar lebih menghargai orang tua. Kalau dulu waktu cuti ada yang lebih gemar pergi ke luar negara, kini kita sedar betapa berharganya masa bersama ibu bapa.

Kalau dulu perjalanan 4 jam ke kampung dirasakan sudah cukup lama, kali ini kita sanggup buat apa sahaja untuk bertemu orang tua tercinta.

Barulah kita sedar, setiap saat bersama mereka perlu dihargai sebaiknya. Suatu hari, kita akan rindu panggilan si ibu yang meminta kita membantunya di dapur. Kita juga akan rindu permintaan si ayah membantunya menebas laman dan memasang pelita.

Kita juga akan tertunggu-tunggu laungan ibu meminta kita ke kedai untuk belikannya santan ataupun kelapa. Teringat dulu-dulu, kalau mak sahut nama je terus datang. 

Namun, kini itu semua hanya kenangan. Mungkin itulah apa yang dirasakan Anas tatkala menjelang Syawal dalam video oleh Air Selangor ini. Kenangan ketika kecil bersama ibu dan ayahnya masih segar dalam ingatan biarpun diri sendiri sudah dimamah usia.

Setiap detik ada nilainya,
Setiap bicara ada maknanya,
Setiap titis ada nikmatnya,
Syukur, kita Bersama.

Raya tahun ini, kita belajar untuk terus menghargai nikmat bersama. Jaga SOP untuk lindung diri dan keluarga. Usah kerana terlalu teruja beraya, kita letakkan nyawa orang tua dalam bahaya. Moga masih berkesempatan menziarahi mereka sebaik sempadan negeri dibuka. 

Selamat Hari Raya Aidilfitri dari Air Selangor buat semua rakyat Malaysia.

Amira

Love yourself.